Haram, harus ucap Merry Christmas bergantung keadaan
ISU berkaitan melazafazkan ucapan ‘Merry Christmas’ kepada penganut Kristian kembali timbul apabila sambutan perayaan agama itu menghampiri tarikhnya.
Ia sering menimbulkan polemik dan salah faham baik dalam kalangan bukan Muslim, malah umat Islam sendiri juga terkeliru.
Persoalan yang timbul apabila sesetengah daripada umat Islam mempunyai hubungan secara langsung dengan bukan Muslim, baik secara kekeluargaan, kerjaya mahupun tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama seperti berlaku di Sabah dan Sarawak serta di Semenanjung.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel bertajuk Tahqiq al-Masail 7: Hukum mengucapkan ‘Merry Christmas’ kepada mereka yang beragama Islam, yang disiarkan sebelum ini menjelaskan, pihaknya menekuni isu ini dan membuat kajian ilmiah dalam kerangka fiqh kontemporari.
“Ia diisbatkan daripada teks-teks agama, masalah, sirah umat Islam dan fiqh realiti dan pada hakikatnya, isu ini adalah isu ijtihadi dan tidak mutlak keharaman serta keharusannya.
“Ia bergantung kepada keadaan dan situasi semasa seseorang,” katanya.
Meneruskan hujahnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Rasulullah SAW itu sendiri datang untuk membawa rahmat kepada sekalian alam melalui firman ALLAH SWT dalam ayat ke-107 surah al-Anbiya’:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Katanya, Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala kebaikan. ALLAH SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia tanpa sebarang perbezaan dengan dalil yang umum dan jelas:
“Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.” (Surah al-Baqarah: 83)
Dalam kitab Tafsir al-Maraghi, Syeikh Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi hak setiap anggota umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan perkataan yang baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan perbuatan lain bermanfaat di dunia dan akhirat.”
Hukum mengucapkan tahniah atas sambutan Krismas
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim atau dalam konteks soalan adalah Hari Krismas.
“Ini kerana sebahagian ulama mengharamkan melihat ucapan tahnian ini sebagai konotasi mengiktiraf agama lain dan menyebarkan syiar mereka.
“Bagi ulama yang membenarkannya pula melihat ia adalah harapan bagi keselamatan dan keamanan atau simbol hubungan sosial dengan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, tanpa berniat untuk mengiktiraf kebenaran agama lain,” katanya.
Tambahnya lagi, selepas melihat dua pandangan dan juga situasi semasa di Malaysia, pihaknya berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan semumpamanya adalah diharuskan dengan syarat-syarat dan garis panduan yang khusus.
Keputusan institusi fatwa
Sebagaian pendaapat institusi fatwa:
1 – Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz tidak bertentangan dengan akidah Islamiah dan perbuatan ini termasuk di bawah bab ihsan.
Dar al-Ifta’ juga menjelaskan bahawa ucapan Merry Christmas ini tidak termasuk di bawah penyerupaan dengan bukan Islam yang dilarang kerana larangan tasyabbuh (menyerupai) itu meliputi perbuatan dan iktiqad yang bercanggah dengan perkara-perkara thawabit (prinsip-prinsip tetap yang qath’ie) dalam Islam.
2 - Majlis Fatwa Eropah juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat dan ia boleh diucapkan oleh individu Muslim atau organisasi Islam kepada saudara mereka yang bukan Islam.
Ini bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim itu sendiri (minoriti Muslim di negara bukan Muslim).
Garis panduan umum
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudiannya mengemukakan garis panduan umum yang perlu difahami:
1 - Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat.
Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja.
Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
2 - Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar.
Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
3 - Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.
4 - Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam.
Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim.
Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak.
Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka.
Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.
5 - Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal.
Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!