Di mana Dodit?
JOHOR BAHRU - Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, Dodit Wilman, 25, berketurunan etnik Rungus, Sabah merupakan anggota di Kem Tentera Iskandar, Mersing.
“Kali terakhir dia dilihat meninggalkan rumah keluarga di Program Perumahan Rakyat (PPR) Cahaya Senibong, Masai pada jam 7.30 malam pada 8 Disember lalu.
“Laporan polis kemudian dibuat kakak ipar mangsa di Balai Polis Permas Jaya jam 12.38 tengah hari, pada 17 Disember lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, pada Isnin.
Raub memberitahu, kakak iparnya memaklumkan sepatutnya Dodit melapor diri pada 16 Disember lalu tetapi pihak kem berkenaan memberitahu mangsa gagal hadir.
Menurutnya, kenderaan terakhir digunakan mangsa adalah kereta jenis Perodua Viva.
Raub berkata, cubaan ahli keluarga menghubungi Dodit melalui telefon bimbitnya juga tidak berjaya.
“Hebahan telah dibuat di semua balai polis berhampiran untuk membantu usaha mengesan mangsa.
“Semakan melalui Integrated Police Reporting System (IPRS) mendapati tiada laporan tangkapan atau kemalangan yang melibatkan mangsa.
"Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Johor Bahru Selatan sedang menjalankan siasatan dan tindakan lanjut untuk mengesan keberadaan mangsa," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa boleh menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!