Sebarau Tasik Kenyir lebih 'jinak' ketika hujan lebat
KUALA TERENGGANU - Musim tengkujuh di Terengganu menjanjikan kelainan bagi mereka yang gemarkan aktiviti memancing atau perikanan rekreasi bagi memburu spesies ikan yang sukar didapati di tempat lain.
Pemandu pemancing, Mohd Hafiz Mat Hussin, 41 berkata, kebanyakan kaki pancing menunggu musim Monsun Timur Laut (MTL) untuk merasai pengalaman memburu ikan sebarau serta keseronokan 'mandi hujan' di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
Menurutnya, ikan sebarau yang merupakan spesies ikan air tawar cukup popular di negara ini lebih mudah didapati pada musim hujan kerana ia akan bermigrasi ke kawasan hulu sungai untuk mengawan atau membiak.
"Sambutan terhadap aktiviti memancing ketika musim monsun lebih meriah kerana pada waktu ini ramai yang ingin memburu ikan sebarau dan bermain hujan.
"Cuaca hujan lebat memainkan peranan yang amat penting kerana ia adalah waktu terbaik untuk menangkap ikan ini malah ia lebih 'jinak' dalam keadaan cuaca sebegini.
"Musim hujan adalah tempoh keemasan kerana ikan sebarau lebih mudah memakan umpan. Sebab itulah pemancing perlu bersedia dengan pakaian yang sesuai supaya dapat menahan diri daripada cuaca sejuk," katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Isnin.
Mohd Hafiz yang berpengalaman memandu pemancing sejak 10 tahun lalu berkata, perjalanan dan tempoh masa diambil untuk tiba ke lokasi ikan sebarau di Tasik Kenyir, bergantung kepada keadaan cuaca pada hari tersebut.
"Biasanya, perjalanan minimum mengambil masa selama 30 minit dari jeti di Pengkalan Gawi, sekiranya perjalanan pada hari minggu pula, kita perlu pergi lebih jauh ke kawasan kurang orang.
"Memancing di kawasan sunyi memberi sedikit kelebihan untuk menangkap ikan ini di mana secara purata kita dapat naikkan sekitar dua hingga tiga ekor sebarau dalam sehari.
"Jika kena pada cuaca yang tepat, kita pernah dapat sehingga 11 ekor sebarau dalam sehari dan 15 ekor toman ketika musim panas. Ikan paling berat pernah dinaikkan pula 8 kilogram (kg) untuk ikan toman dan 3 kg bagi ikan sebarau,"jelasnya.
Bagaimanapun, Mohd Hafiz berkata, dia tidak begitu mempromosikan jumlah hasil terbanyak kerana pemancing akan mudah berharap serta meletakkan harapan yang tinggi untuk setiap satu perjalanan memancing ikan.
"Untuk setiap 'trip', saya tidak pernah menjanjikan hasil, semua pemancing mesti buat yang terbaik. Saya lebih cenderung untuk mendidik mereka (pelanggan) untuk sentiasa berusaha dan percaya pada rezeki masing-masing, "ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, konsep 'sportfishing' iaitu memburu ikan dengan menggunakan umpan tiruan digunakan bagi memburu sebarau.
"Ada pelbagai jenis umpan yang boleh digunakan namun bergantung pada kesesuaian.
"Umpan terbaik untuk ikan toman adalah umpan 'softbaits' manakala bagi sebarau pula gewang selaman dalam bersaiz 5 hingga 7 sentimeter (cm) lebih sesuai digunakan," katanya.
Mohd Hafiz mempromosikan pakej memancing di Tasik Kenyir menerusi laman sosial Facebook MHMH Sport Fishing.
Untuk setiap satu perjalanan, seramai dua pemancing dibawa bermula jam 8.30 pagi dan kembali semula ke jeti jam 6.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!