Program PerKasa UiTM bantu B40 jana pendapatan
SHAH ALAM - Projek Pemerkasaan Sosio-ekonomi Komuniti Bersasar atau PerKasa membantu meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah melalui penjanaan pendapatan.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Komuniti@UniMADANI, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan memfokuskan membantu 40 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom membabitkan pembiayaan RM97,600 daripada Kementerian Kewangan Malaysia.
Pengarah Pusat Jaringan Komuniti ICAN UiTM,Profesor Madya Dr Siti Hafsyah Idris berkata, program PerKasa merupakan usaha strategik kerajaan untuk memperkasa sosioekonomi penduduk PPR di Selangor.
Menurutnya, program itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di dalam negara.
"Program PerKasa menonjolkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) dan Fakulti Pengurusan Perniagaan (FBM) dari UiTM.
"Ia turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) seterusnya sokongan padu komuniti PPR Kampung Baru Hicom," katanya mewakili Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti, dan Alumni), Profesor Dr Jamalunlaili Abdullah.
Pada Sabtu telah diadakan majlis penutup Program PerKasa di UiTM Shah Alam.
Siti Hafsyah, program itu juga melibatkan penyelidikan yang diterajui Pensyarah Kanan FSPPP, Profesor Madya Dr Mahadir Ladisma @ Awis.
Katanya, melalui program seperti PerKasa, membuktikan komitmen UiTM bukan hanya melahirkan graduan berkualiti tetapi memainkan peranan membantu komuniti mencapai kemajuan sosioekonomi.
Tambahnya, peserta akan dibimbing untuk menguasai pelbagai kemahiran baharu yang dapat membantu mereka menambah pendapatan dan meningkatkan kualiti hidup menerusi program itu.
"Untuk jangka panjang, usaha tersebut diharap dapat melahirkan komuniti lebih berdikari dan berdaya saing.
"Program PerKasa dirangka dengan pendekatan menyeluruh yang menonjolkan lima teras utama pelaksanaan iaitu bersasar, fleksibel, latihan praktikal, holistik serta bimbingan mentor daripada UiTM sepanjang program," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!