'Hanya mampu menangis'
PASIR PUTEH - Banjir luar jangka tiga minggu lalu mengakibatkan seorang tukang jahit di Jalan Klinik di sini berputih mata melihat kesemua barangan dalam kedainya rosak teruk.
Lebih menyedihkan, Mohd Zaidi Mat Din, 56, terpaksa membayar ganti rugi kepada pelanggan apabila banyak kain yang ditempah untuk Hari Raya Aidilfitri tahun depan ditenggelami banjir.
Menurut Mohd Zaidi, musibah berkenaan turut menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian lebih RM20,000 apabila peralatan menjahit termasuk enam mesin jahit turut tenggelam.
"Saya hanya mampu menangis melihat keadaan kedai yang berselerak dan dipenuhi lumpur selain cermin kedai pecah akibat air laju," katanya.
Mohd Zaidi memberitahu, dia sudah membuat persiapan dua hari sebelum banjir dengan mengangkat semua kelengkapan jahitan tetapi tidak menyangka air naik lebih tinggi daripada jangkaan.
Bagaimanapun, Mohd Zaidi belum menerima sebarang bantuan dan tidak tahu saluran yang betul untuk membuat permohonan bagi mengurangkan beban kewangannya.
Jelasnya lagi, dua mesin jahitnya sudah tidak boleh dibaiki kerana pernah mengalami kerosakan ketika banjir beberapa tahun tahun lalu.
"Mahu tidak mahu saya perlu menggantikan kesemua pakaian dan kain pelanggan serta membaiki mesin yang rosak dan tentunya memerlukan kos yang besar," katanya.
Mohd Zaidi yang lebih 30 tahun menjadi tukang jahit mengakui pengalaman kali ini lebih menyedihkan kerana kawasan kedainya dinaiki air setinggi hampir satu meter.
"Saya mengambil masa lebih lima hari untuk mengemas ruang kedai namun masih ada yang belum selesai kerana terlalu teruk dan berbau," katanya.
Bercerita pengalaman berkenaan, Mohd Zaidi terpaksa berjalan hampir dua kilometer meredah air setinggi 0.4 meter dari rumahnya di Kampung Gedombak ke kedai untuk melihat suasana dan keselamatan di lokasi itu.
"Banjir tahun ini memang luar biasa. Kawasan rumah saya yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini ditenggelami banjir sehingga 0.6 meter," katanya.
Mohd Zaidi sebelum itu menerima bantuan hasil kerjasama MySinar, Myfundaction dan Gusinar Pasir Puteh yang disampaikan oleh Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!