Laporan DNA, bedah siasat pembunuhan kejam Cikgu Istiqomah diperoleh

Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah yang juga bekas guru dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi ini. Foto Astro Awani
Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah yang juga bekas guru dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi ini. Foto Astro Awani
A
A
A

ALOR GAJAH - Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini menetapkan 23 Januari depan sebagai sebutan semula kes pembunuhan kejam seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, pada Disember tahun lalu.

Majistret Dr Teoh Shu Yee menetapkan tarikh itu sebagai sebutan izin memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Melaka.

Ia sejurus Pegawai Pendakwa Inspektor Noor Hidayu Abd Latif memaklumkan dokumen penting iaitu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat telah diperoleh.

Terdahulu, tarikh sebutan baharu itu ditetapkan selepas mahkamah menerima cadangan daripada peguam mewakili tertuduh, K K Veeranesh.

Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, yang juga bekas guru dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi ini dengan mengenakan baju-T dan seluar putih serta memakai pelitup muka dengan kawalan anggota polis.

Pada 19 Ogos lalu, dia didakwa kali pertama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pembunuhan terhadap Istiqomah di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, di sini, antara 26 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023.

Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, hendaklah dipenjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan tertuduh ditahan selepas dipercayai melakukan pembunuhan kejam terhadap mangsa yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3 yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia selepas misteri penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini 31 Disember lalu terjawab apabila ianya disahkan milik guru wanita berkenaan.

Ianya disahkan berdasarkan ujian DNA yang dilakukan terhadap ibunya pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!