'Saya kehilangan adik lelaki saya hari ini,' - Fauziah Ahmad Daud

Gambar kenangan Ogy bersama Fazal dan isterinya.
Gambar kenangan Ogy bersama Fazal dan isterinya.
A
A
A

SENIWATI Fauziah Ahmad Daud berkongsi berita sedih mengenai pemergian adik lelakinya, Fazal Ahmad Daud akibat masalah batu karang dalam hempedu.

Menurut Fauziah yang juga dikenali sebagai Ogy, Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada 7 pagi tadi di kediamannya di Taiping, Perak.

Ujarnya, Allahyarham sudah lama menghidap penyakit tersebut dan merahsiakannya daripada adik-beradik.

Ogy Ahmad Daud dan Fazal Ahmad Daud
Ogy Ahmad Daud dan Fazal Ahmad Daud

"Allahyarham sudah menjalani pembedahan tetapi keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Saya kehilangan adik lelaki saya hari ini. Saya memohon ampun maaf bagi pihak arwah Fazal Ahmad Daud, jika ada salah silap selama di atas muka bumi ALLAH.

"Jika ada hutang piutang boleh hubungi kami. Kepada sesiapa nak ziarah boleh ke rumah kami. Insya-ALLAH kami akan uruskan pengebumian arwah adik hari ini," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediaman Fauziah di Taman Melawati sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Melawati, Hulu Kelang.

Artikel Berkaitan:

Tambah aktres dan guru lakonan berusia 62 tahun itu, beliau meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik untuk Allahyarham.

"Sebagai kakak saya mohon ampun dan maaf. Dia anak, adik, abang, suami dan ayah yang baik.

"Fazal, Kak Ogy sayang sangat kepada Fazal, Fazal berehat ya di negeri abadi. Jangan risaukan kami. Kak Ogy akan sentiasa merindui Fazal tau," ujarnya dalam tangis.

Allahyarham Fazal merupakan pelakon kanak-kanak dan pernah membintangi filem Hati Batu di sisi Ogy.

Sekadar info, selain Fazal, Ogy memiliki seorang lagi adik yang juga pelakon Fazlina, 49.

Mereka adalah anak kepada seniman Datuk Ahmad Daud dan primadona filem Melayu, seniwati Datin Saadiah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!