Lawatan keluarga penghuni penjara sempena Krismas pada 27, 28 Disember
KUALA LUMPUR - Keluarga penghuni penjara dibenarkan membuat lawatan pada 27 dan 28 Disember ini sempena Krismas bagi semua institusi penjara, termasuk di Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.
Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Kristian.
Walau bagaimanapun, pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman dari luar, tetapi boleh dibeli di kantin penjara.
"Pelawat perlu mematuhi syarat antaranya waktu lawatan bermula dari jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan perlu membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan," menurut kenyataan itu.
Pelawat tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni kerana semua kemudahan asas sudah disediakan oleh JPM.
"Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan.
"Pelawat adalah tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara,” menurut kenyataan itu.
JPM memaklumkan bagi perjumpaan secara dalam talian akan dilaksanakan mulai 29 hingga 31 Disember ini, bagi memberi peluang kepada keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk perjumpaan bersemuka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!