KJ tanya, siapa menteri dalam kisah roti john?
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memuat naik gambar keratan akhbar mengenai kisah seorang menteri mengaitkan nama pegawai tinggi asing dengan roti john.
Beliau turut meletakkan satu persoalan pada keratan akhbar tersebut dalam Instagramnya (Insta Story), Menteri yang mana?
Keratan akhbar tersebut sebenarnya menceritakan tentang contoh seorang menteri yang tidak layak untuk memegang jawatan kerana mempunyai kedudukan dalam parti.
Penulis tersebut mendedahkan, tentang pertemuannya dengan seorang diplomat dalam satu majlis makan tengah hari.
Cerita diplomat itu, menteri terbabit bertemu dengan seorang pegawai tinggi asing yang dikenali sebagai John.
Menteri terbabit memberitahu pegawai tinggi itu bahawa di Malaysia terdapat sejenis makanan yang dikenali sebagai roti john.
"Jika anda ke negara saya, saya akan memasak roti john untuk anda," kata menteri tersebut.
Menurut diplomat itu, pegawai tinggi berkenaan berkata kepadanya, walaupun ia adalah jemputan yang enak namun beliau tidak menganggap ia menarik kerana mesyuarat yang mereka hadiri itu berhubung dengan isu keselamatan yang serius.
Menurut penulis tersebut, kisah ringkas itu melucukan tetapi dia sendiri tidak pasti sama ada diplomat yang memberitahu cerita tersebut bergurau ataupun serius.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!