Media berdepan cabaran lambakan wartawan segera
MARAN - Pengamal media pada masa kini berdepan cabaran dengan lambakan wartawan segera sehingga menyebabkan berleluasanya berita palsu yang boleh mengganggu gugat keselamatan masyarakat.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, situasi terbabit ekoran perkembangan teknologi pada masa kini.
Menurutnya, media merupakan salah satu medium yang memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat tepat, sahih dan telus kepada masyarakat.
"Selain melaporkan kejayaan pihak polis, media juga turut menyebar luas maklumat-maklumat dalam usaha membanteras jenayah serta menjaga keselamatan masyarakat.
"Peranan pengamal media dalam penyampaian informasi tidak dapat disangkal, apatah lagi pada zaman teknologi maklumat kini, kita juga dapat menyaksikan pelbagai penyebaran berita palsu yang berleluasa di media sosial," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Daerah Maran bersama media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pengamal media juga diharap dapat membantu dan menangkis serta menolak laporan yang tidak benar dengan membawa kesedaran, pemahaman yang baik kepada masyarakat melalui laporan yang telus serta beretika.
Dalam pada itu, Kim Wai amat menggalakkan kepada semua ketua bahagian dan ketua polis balai dalam daerah Maran untuk turut proaktif bekerjasama dengan pihak media.
Ujarnya, ia demi memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat terutamanya memberikan kesedaran untuk mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!