KPDN Kedah beri amaran jangan sorok minyak masak
ALOR SETAR - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Kedah memberi amaran kepada peniaga agar tidak menyorok bekalan terutamanya minyak masak.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, KPDN Kedah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat peniaga yang sengaja berbuat demikian.
Katanya, mereka akan sentiasa membuat pemeriksaan termasuk sekiranya terdapat aduan yang diterima daripada pengguna.
“Selain itu, kita juga akan meneruskan penyamaran untuk mengenal pasti kesalahan yang dilakukan peniaga. Penyamaran itu memang “style” kita untuk buktikan kesalahan.
“Setakat ini kita dapati peniaga masih menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyembunyikan bekalan di belakang premis,” katanya ketika sidang media di Pasaraya Mydin di sini sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krisma 2024 pada Isnin.
Muhammad Nizam berkata, sepanjang tahun ini KPDN Kedah telah menerima 137 aduan berkaitan minyak masak daripada jumlah keseluruhan 1,693 aduan.
“ Daripada jumlah itu, sebanyak lapan kes berkaitan minyak masak telah diambil tindakan melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Enam kes lagi dihasilkan daripada aduan kenaikan harga bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Sementara itu, bagi SHMMP Krismas 2024 yang bermula 23 Disember, sebanyak 14 jenis barangan di senaraikan di bawah skim ini.
Muhammad Nizam berkata, walau bagaimana pun hanya sembilan barangan yang dikawal di negeri Kedah iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import ( Indonesia dan China tidak termasuk Kubis Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan ubi kentang import (China).
“ daripada sembilan jenis barangan tersebut lima daripadanya mengalami penurunan harga dan empat jenis lagi kekal seperti harga pada tahun 2023,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!