Kutip ‘derma jihad’ galak ahli politik bicara tanpa fakta - Mohd Khairuddin

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil akan menggalakkan ahli politik untuk tidak bertanggungjawab berbicara di pentas politik tanpa fakta yang tepat.

Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, hal tersebut memberi kesan fitnah dengan merosakkan nama orang lain khususnya individu yang tidak sefahaman.

"Mereka dengan mudah membuat fitnah kerana yakin akan dibantu oleh masyarakat apabila dikenakan saman sivil di mahkamah.

“Jangan biarkan fitnah dinormalisasikan atas nama perjuangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin memberitahu bahawa sangat tidak wajar mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil kerana perlakuan dosa fitnah.

Katanya, dana sumbangan awam patut digunakan untuk aktiviti seperti kebajikan, membantu golongan yang dizalimi, dakwah serta pendidikan.

Jelas beliau, ia tidak seharusnya digunakan untuk membantu orang yang menzalimi maruah orang lain dengan fitnah dan cerita rekaan walaupun bukan Islam atau musuh.

“Dosa fitnah dan mereka-reka cerita adalah dosa besar yang dijadikan inti pati aku janji para sahabat dengan Nabi SAW sebelum hijrah.

Artikel Berkaitan:

“Memberi sumbangan untuk menampung kesalahan itu tidak berpahala bahkan tanda meredai perlakuan dosa fitnah,” ujarnya.

Sebelum ini, tersebar surat pekeliling yang dihantar kepada pemimpin utama pusat, negeri dan sayap Pas yang memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai kewajipan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad membayar RM825,000 dengan kadar segera, yang diperintahkan oleh mahkamah.

Menurut surat itu lagi, kegagalan membayar saman akan menyebabkan plaintif mengambil tindakan prosiding kebankrapan yang boleh menyebabkan Mastura hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan kerusinya akan dikosongkan.

Pada 4 Disember lepas, Siti Mastura kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok berhubung ucapan beliau yang mengaitkan mereka dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

Mahkamah Tinggi mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi berjumlah RM750,000 kepada pemimpin-pemimpin DAP tersebut, iaitu RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng dan RM200,000 kepada Kok.

Siti Mastura juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM25,000 setiap seorang untuk ketiga-tiga plaintif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!