Kejohanan Muaythai Kuda Merah terbesar pernah dianjurkan

A
A
A

KEJOHANAN Grand Final Kuda Merah Muay Thai Challenge 2024 'King Of The Ring' anjuran Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan Malaysia melabuhkan tirai dengan gemilang di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara kali ke-75 itu mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menarik hampir 30,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya kejohanan itu.

Presiden Kelab Muaythai Kuda Merah, Rosli Yaacob berkata, kejohanan kali ini merupakan yang terbesar pernah dianjurkan dalam sejarah kelab berkenaan.

“Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu daripada Tourism Malaysia, peminat setia, dan mereka yang hadir meskipun berdepan cabaran cuaca kurang baik serta kekangan tempat letak kereta.

“Kami amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan berharap pada 2025, kejohanan lebih besar dapat dianjurkan untuk menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, lebih menarik, festival seni dan kebudayaan Sendha Lokha turut dianjurkan bagi memeriahkan suasana, sekali gus memperkukuh gabungan antara elemen sukan, seni, dan pelancongan.

Sebanyak 150 perlawanan muay thai amatur diadakan dengan penyertaan hampir 300 peserta bertujuan mencungkil bakat baharu anak muda untuk terus maju dalam sukan itu.

Kejohanan ini juga menyaksikan penglibatan King of the Ring yang menampilkan pertembungan 13 petinju tempatan dengan 13 petinju antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Dalam acara kemuncak itu, turut diadakan persembahan gendang tradisional Pantai Timur bagi memberi suntikan semangat kepada petinju dan mencipta pengalaman luar biasa kepada penonton.

Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza; Penaung Kelab Muaythai Kuda Merah, Datuk Seri Haji Johari Abdul Ghani; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy; Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah serta legenda sukan Muaythai, Rodtang Jitmuangnon.

Rosli berharap kejohanan tahun depan dapat dianjurkan di Stadium Titiwangsa dengan skala lebih besar, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama acara sukan Muaythai bertaraf antarabangsa.

“Matlamat kami adalah untuk mengangkat sukan muay thai sebagai salah satu elemen pelancongan utama negara,” tambahnya.

Kejohanan ini sekali lagi membuktikan bahawa sukan bukan sahaja mampu melahirkan juara tetapi juga menyatukan rakyat pelbagai bangsa dan menarik perhatian dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!