16 didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Pacific Siva'

Seramai 16 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, ‘Geng Pacific Siva’. - Foto Bernama
Seramai 16 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, ‘Geng Pacific Siva’. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Seramai 16 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Pacific Siva’.

Mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terdiri daripada M Subramaniam, 44, G Tilagarajan, 36, M Kesavan, 39, N Sharvin, 26, T Ligen Kumar, 26, M Dineswaren, 24, P Kirubaagaran, 23, G Meheshkumara, 27 dan M Janagesh, 28.

Turut didakwa R Logeswaaraaj, 30, K Hendry, 44, M Sivasangkaran, 40, M Partiben, 29, S Arunan, 32, S Denneswaran, 28, dan V Alagis, 31.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nor Azah Kasran kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli Geng Pacific Siva antara Jun 2016 hingga 26 November 2024. Foto Bernama
Kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli Geng Pacific Siva antara Jun 2016 hingga 26 November 2024. Foto Bernama

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Pacific Siva’ dalam Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang antara Jun 2016 hingga 26 November 2024 kecuali Arunan dan Subramaniam yang didakwa melakukan kesalahan sama antara Februari 2019 hingga 26 November 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan dan Lina Hanini Ismail manakala 13 tertuduh diwakili peguam. Arunan, Alagis dan Subramaniam tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 7 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada 27 November lepas, polis Pulau Pinang menahan 11 lelaki di bawah SOSMA yang disyaki terlibat dengan kumpulan menjalankan kegiatan jenayah terancang dan berleluasa.

Kesemua mereka ditahan dalam siri serbuan menerusi Op Cantas Mutiara di sekitar Pulau Pinang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen negeri dengan dibantu Bahagian Jenayah Terancang (B14) dan Bahagian Operasi Khas (D8) Bukit Aman. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!