Nyholm, Milunovic tidak lagi bersama Perak FC
PEMAIN kebangsaan Filipina, Jesper Nyholm dan pemain import dari Serbia, Luka Milunovic sah meninggalkan Perak FC selepas kontrak mereka yang tamat pada 31 Disember ini tidak lagi disambung.
Perlawanan Perak FC menentang Sri Pahang FC ketika suku akhir kedua Piala Malaysia pada Ahad lalu merupakan aksi terakhir mereka bersama pasukan.
Nyholm menyifatkan perjalanan bersama Perak FC sejak tahun 2023 sesuatu yang sangat bermakna dan amat menghargai sokongan peminat.
"Ini merupakan perlawanan terakhir saya dengan Perak FC. Ia suatu perjalanan yang sangat bermakna, tahun lalu kita layak dan tahun ini sangat hampir (ke separuh akhir).
"Saya sayangkan rakan-rakan saya, kita berjuang bersama tak kira betapa mencabarnya, kita tetap berusaha. Untuk penyokong, terima kasih banyak. Kita nantikan apa yang berlaku pada masa akan datang," katanya menerusi satu video ucapan perpisahan yang dimuat naik dalam akaun Facebook Perak FC pada Ahad.
Sementara itu, Milunovic dalam rakaman video yang turut dimuat naik menerusi akaun Facebook pasukan turut mendoakan yang terbaik buat pasukan dan penyokong Perak FC.
Beliau turut mengakui berbangga menjadi pemain Perak FC dan menghargai segala bantuan diterima sepanjang bersama pasukan.
"Ini merupakan perlawanan terakhir namun pasukan kita tidak layak ke peringkat seterusnya, namun saya berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan.
"Dari hari pertama saya sentiasa dapat sokongan daripada anda semua dan saya lakukan yang terbaik dan kita hasilkan keputusan yang baik, kadang kala keputusan kurang baik tetapi itulah bola sepak," katanya.
Untuk rekod, Nyholm yang bermain di posisi pertahanan beraksi di dalam 29 perlawanan manakala Milunovic pula berjaya menjaringkan tujuh gol dan lima bantuan jaringan dalam 28 penampilan ketika menyarung jersi skuad The Bos Gaurus itu.
Pada awal Disember lalu, pemain import dari Korea Selatan, Lee Tae-min meninggalkan pasukan dan kini diikuti dua lagi pemain yang dilepaskan Perak FC.
Skuad kendalian Yusri Che Lah itu ketika ini hanya mempunyai lima pemain import iaitu iaitu Sunday Afolabi, Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov, Luiz Motta dan Clayton Da Silva.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!