Kerani bank rugi lebih RM100,000 terperdaya 'phone scam'
KUALA TERENGGANU - Seorang kerani bank kerugian RM115,950 selepas terpedaya sindiket penipuan melalui telefon atau 'phone scam' yang menyamar sebagai polis dan pendakwa raya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada 8 September lepas, wanita berusia 41 tahun itu telah dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai petugas syarikat insurans dan mendakwanya mempunyai tiga tuntutan insurans.
Azli berkata, panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada beberapa suspek lain yang menyamar sebagai polis dan pendakwa raya yang menyatakan mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram.
"Mangsa menafikan ada membuat tiga tuntutan insurans dan penggubahan wang haram seperti yang dikatakan.
"Untuk mengelak didakwa, mangsa diarahkan supaya membuka akaun bank bagi tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Azmi berkata, mangsa yang berasal dari Bukit Payong, Marang telah membuat enam transaksi berjumlah RM115,950 dalam tempoh 19 September hingga 30 November ke tiga akaun berbeza.
Bagaimanapun mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu petang semalam.
Beliau berkata sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan dan kad kredit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!