'Terima kasih isteri datang sambut saya di penjara'

Asrul bersyukur isterinya masih menerimanya.
Asrul bersyukur isterinya masih menerimanya.
A
A
A

SEREMBAN - "Saya berterima kasih kepada isteri kerana masih sudi menerima saya walaupun ini merupakan kali ketiga saya dipenjara dan rasanya kalau dia tiada, hidup saya lagi teruk," kata Asrul, 36.

Dia yang sepatutnya menjalani hukuman penjara di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu selama 10 bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah bagaimanapun dilepaskan bersama 40 banduan lain melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Hari Krismas, pada Isnin.

Pembebasan itu membawa makna besar buat bapa kepada tiga anak ini yang berazam memulakan kehidupan baharu dengan lebih baik lagi.

Dia yang tinggal di Rembau sedar bukan mudah buat seorang isteri menerima suami yang bergelar banduan lebih-lebih lagi yang berdepan hukuman buat kali ketiga.

"Tapi saya bersyukur yang isteri saya tetap setia menunggu dan dia jugalah yang menjadi penjamin bagi program PBSL ini.

"Kalau ikutkan tempoh hukuman saya berakhir lambat lagi tapi Alhamdulillah diberi peluang keluar lebih awal melalui program ini, malah isteri yang datang menyambut saya bersama anak-anak," katanya.

Asrul berkata, kali pertama dia dipenjarakan pada tahun 2023 atas kesalahan sama dan selepas beberapa bulan dibebaskan, dia ditahan semula.

Bagaimanapun ujarnya, isterinya tidak pernah berputus asa memberinya semangat untuk berubah.

Artikel Berkaitan:

"Tapi saya yang tak kuat dan saya akui bukan mudah sebenarnya untuk saya keluar daripada najis dadah ini, tapi kali ini saya nekad.

"Saya terhutang budi dengan pengorbanan isteri menjaga anak-anak sepanjang saya di dalam penjara dan sebaik saja dilepaskan, saya akan berniaga roti canai dengan isteri," katanya yang telah berkahwin lapan tahun.

Asrul berkata, dia mula terjebak dengan najis dadah seawal usia 13 tahun iaitu selepas berdepan masalah kemurungan.

Bagaimanapun ujarnya, dia tidak menyalahkan keluarga sebaliknya apa yang berlaku disebabkan pilihan dirinya sendiri.

Sementara itu, isterinya Ain, 45, berkata, dia masih menerima Asrul seadanya kerana memikirkan anak-anak dan berharap kali ini dia betul-betul berubah.

"Saya berharap suami akan lebih fikirkan masa depan keluarga selepas ini dan sebagai isteri saya akan cuba membantu dia sebaik mungkin.

"Saya pun akui sebagai isteri dan ibu, sukar untuk saya teruskan hidup tanpa adanya ketua keluarga," katanya.

Sementara itu Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Penolong Kanan Komisioner Ahmad Mustaqim Che Bisi berkata, setiap bulan seramai 60 hingga 100 banduan di negeri ini yang terlibat dalam PBSL.

Menurutnya, mereka merupakan pesalah yang sedang menjalani hukuman penjara di bawah tiga tahun.

"Program ini membolehkan mereka keluar untuk menjalani pemulihan di dalam komuniti lebih awal dari tarikh yang sepatutnya mereka bebas.

"Kita sediakan mereka untuk bebas awal dengan tiga perkara utama iaitu jaminan pekerjaan, tempat tinggal dan gaji yang setimpal," katanya.

Jelasnya, sehingga kini pihaknya telah menjalin kerjasama dengan 43 majikan di Negeri Sembilan bagi menjayakan program berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!