Jurutera maut digilis treler, JKKP Selangor keluar 2 notis
SHAH ALAM - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan dua notis perbaikan kerja pengurusan trafik dalam sebuah tapak binaan Hub Logistik, di sini, susulan insiden jurutera tapaknya maut digilis treler.
Pejabat Pengarah JKKP Selangor dalam satu kenyataan berkata, mangsa maut digilis treler muatan cerucuk dalam kemalangan di tapak binaan tersebut pada Sabtu lalu.
Katanya, siasatan awal JKKP Selangor mendapati mangsa digilis treler itu yang mengundur ke belakang ketika beliau bergerak mengikuti treler berkenaan.
Katanya, sepasukan pegawai penyiasat JKKP segera menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada Ahad.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.
“Susulan daripada siasatan tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan dua notis perbaikan untuk aktiviti kerja pengurusan trafik di dalam kawasan tapak binaan,” katanya pada Isnin.
JKKP Selangor berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.
Tegasnya, majikan bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.
“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” ujarnya.
Menurutnya, langkah terbabit bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.
“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!