BN perlu perkukuh pengaruh untuk kekal relevan
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) perlu memperkukuhkan pengaruh dan sokongan di peringkat akar umbi untuk terus kekal relevan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, usaha memperkuat dan memantapkan parti dilihat sebagai perkara pokok yang perlu dilakukan oleh BN sebelum bergantung harap kepada pihak lain untuk bangkit serta kembali ke zaman kegemilangan.
“Sebagai parti komponen BN, Pemuda MCA berpendapat adalah lebih baik sekiranya aspek kesetiaan kepada parti dan perpaduan itu dibuat di peringkat dalaman BN terlebih dahulu bagi memastikan kestabilan serta kelangsungan parti kekal relevan dalam politik negara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, pada masa sama, BN perlu tegas dalam memastikan identiti parti jelas dan dihormati untuk memberi kekuatan dalam sebarang bentuk kerjasama politik.
“Politik yang dinamik dan sering berubah ini menuntut kita supaya jangan terlalu bergantung harap kepada pihak lain untuk memenangi PRU akan datang, sedangkan kita sendiri tidak berusaha untuk memantap dan memperkukuhkan parti,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!