Peniaga rugi setengah juta ditipu Macau Scam
NILAI - Seorang peniaga kerugian setengah juta selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai wakil daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, polis menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 31 tahun pada Isnin.
"Mangsa memberitahu telah terima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai wakil dari pejabat TNB, pada 21 November lalu.
"Ia berkenaan premis yang kononnya berdaftar atas nama mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, panggilan itu kemudian dipindahkan ke Bukit Aman dan mangsa dimaklumkan yang akaun miliknya telah digunakan untuk penggubahan wang haram.
Tambahnya, mangsa kemudian telah memindahkan wang ke dalam 11 akaun yang diberikan oleh suspek untuk tujuan pengesahan kewangan yang disiasat ke atas mangsa.
"Mangsa telah melakukan 14 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM655,000.
"Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang panggilan telefon yang mencurigakan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!