Hanya 12 trak makanan, air diedar ke utara Gaza dalam tempoh 2 setengah bulan

Orang ramai menerima bantuan makanan di pusat pengedaran makanan di bandar Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
Orang ramai menerima bantuan makanan di pusat pengedaran makanan di bandar Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
A
A
A

GENEVA - Dalam tempoh dua setengah bulan, hanya 12 trak berjaya mengedarkan makanan dan air di utara Gaza, menurut sebuah badan amal berpangkalan di UK, Anadolu Agency (AA) melaporkan.

"Daripada 34 trak makanan dan air yang diizinkan masuk ke Wilayah Utara Gaza dalam tempoh ini, kelewatan dan halangan sistematik oleh tentera Israel menyebabkan hanya 12 trak dapat menyampaikan bantuan kepada penduduk Palestin yang kelaparan,” kata Oxfam dalam satu kenyataan pada Ahad.

"Bagi tiga daripada trak ini, sebaik sahaja makanan dan air dihantar ke sekolah perlindungan, kawasan itu kemudian dibersihkan dan dibedil dalam masa beberapa jam,” tambahnya.

Oxfam menyatakan bahawa pihaknya serta agensi kemanusiaan antarabangsa lain telah berulang kali dihalang daripada menyampaikan bantuan penting di Wilayah Utara Gaza sejak 6 Oktober apabila Israel meningkatkan sekatan ketenteraannya di Jabalia, Beit Lahia dan Beit Hanoun.

"Beribu-ribu orang dipercayai masih terputus hubungan, tetapi dengan akses kemanusiaan disekat, jumlah sebenar tidak dapat diketahui.

"Pada awal Disember, organisasi kemanusiaan yang beroperasi di Gaza menerima panggilan daripada individu yang terperangkap di rumah dan tempat perlindungan yang kehabisan makanan dan air sepenuhnya,” katanya.

Oxfam turut melaporkan konvoi 11 trak bulan lepas yang pada mulanya ditahan di Jabalia oleh tentera Israel, yang sebahagian makanan dirampas oleh orang awam yang kelaparan.

"Selepas diberi kebenaran untuk ke destinasi, trak itu sekali lagi ditahan di pos pemeriksaan tentera.

Artikel Berkaitan:

"Askar memaksa pemandu memunggah bantuan di zon ketenteraan yang tidak boleh diakses oleh orang awam,” menurut kenyataan itu.

Sejak 7 Oktober tahun lepas, kempen ketenteraan Israel di Gaza mengakibatkan lebih 45,259 kematian rakyat Palestin, termasuk 17,492 kanak-kanak dan 11,979 wanita, serta 107,627 cedera, menurut laporan.

Ribuan lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Prasarana awam, termasuk hospital dan sekolah, turut menjadi sasaran utama, memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu. - Bernama-AA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!