Keluarga retak, maruah diinjak-injak - Anak Najib luah rasa kesal
SHAH ALAM - Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin meluahkan ketidakpuasan hati berhubung kes melibatkan keluarganya yang didakwa bukan perbicaraan adil sebaliknya hanya persepsi awam.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu mendakwa, pihaknya tidak diberikan pembelaan adil dan kes dibina atas pembohongan, separuh kebenaran atau nafsu politik serta bukan untuk menegakkan keadilan.
“Saya bercakap tentang kehidupan yang hancur, keluarga retak dan maruah diinjak-injak... semua atas tuduhan lemah, direka dengan tergesa-gesa dengan penuh dendam serta kebencian.
“Hari ini, hati saya berat dengan kebenaran yang sudah terlalu lama terkubur dan saya bersuara bukan hanya sebagai seorang warganegara tetapi sebagai anak kepada seorang yang telah dihukum dengan penuh ketidakadilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beberapa pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terburu-buru sehingga banyak ‘kecacatan’.
Malah Anwar turut menafikan pembabitannya dalam kes mahkamah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Dalam pada itu, Mohd Nazifuddin berkata, ucapan yang diucapkan Anwar ibarat menikam ke kegelapan dan menutup pandangan terhadap keadilan.
“Terlalu lama kita dibohongi, diberitahu bahawa kes-kes tersebut adalah tentang kebenaran dan tanggungjawab tetapi hakikatnya, ini adalah kempen kebencian yang dirancang untuk menafikan keadilan.
“Perbicaraan kes dilakukan dengan penuh ketergesaan dan cuai. Bagaimana lagi kita boleh jelaskan tentang berulang kali ketiadaan bukti, tuduhan cacat serta akhirnya mahkamah terpaksa menggugurkan kes-kes jelas yang hanya permainan politik?
“Mengapa? Kerana ini bukan tentang keadilan. Ini tentang dendam,” ujarnya.
Menurut beliau, Najib telah membuktikan tiada sebarang kesalahan pada setiap satu perbicaraan dihadapi namun penganiayaan masih tetap berjalan dan didorong oleh mereka yang mementingkan politik daripada kebenaran.
"Kes yang tidak berasas telah menyebabkan waktu, kos guaman dan wang rakyat dibazirkan.
“Ia bukan hanya perjuangan keluarga saya, ini adalah perjuangan untuk setiap rakyat yang percaya kepada kesucian kebenaran, keadilan dan undang-undang.
“Ini adalah seruan dan rayuan kepada rakyat Malaysia untuk berdiri bersama kami, menuntut agar keadilan ditegakkan bukan berdasarkan kehendak kuasa politik tetapi berdasarkan prinsip keadilan serta kebenaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!