60,000 lagi Rohingya masuk Bangladesh di tengah konflik memuncak di Myanmar

Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di daerah Cox’s Bazar di tenggara negara itu. Foto fail Bernama
Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di daerah Cox’s Bazar di tenggara negara itu. Foto fail Bernama
A
A
A

DHAKA - Berikutan konflik yang semakin meruncing antara kerajaan junta dan Tentera Arakan di Myanmar, kira-kira 60,000 pelarian Rohingya dilaporkan memasuki Bangladesh dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, menurut Agensi Anadolu yang memetik kenyataan rasmi kerajaan Bangladesh pada Ahad.

Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di daerah Cox’s Bazar di tenggara negara itu.

Kebanyakan pelarian Rohingya melarikan diri dari Myanmar pada Ogos 2017 susulan tindakan keras ketenteraan.

Kemasukan pelarian turut didorong akibat rasuah di sempadan Bangladesh-Myanmar, apabila segelintir individu membantu Rohingya melintasi sempadan dengan bayaran tertentu.

Md Touhid Hossain, penasihat hal ehwal luar Bangladesh, dalam sidang media di Dhaka, berkongsi butiran lawatannya ke Bangkok.

Beliau menghadiri mesyuarat perundingan tidak rasmi pada Khamis lepas yang melibatkan enam negara iaitu Laos, Thailand, India, China, Myanmar dan Bangladesh.

"Prinsip asas kami adalah tidak membenarkan lebih ramai Rohingya masuk. Namun, kadang-kadang situasi mendesak memaksa kami mengambil langkah tertentu. Dalam keadaan ini, kira-kira 60,000 pelarian Rohingya memasuki Bangladesh melalui pelbagai laluan. Ini bukan kerana kami secara rasmi membenarkan mereka masuk,” kata Hossain.

Beliau bagaimanapun yakin, tidak akan berlaku gelombang besar kemasukan pelarian yang baharu.

Artikel Berkaitan:

"Namun, kita perlu mengambil langkah untuk mencegah gelombang ini, bersama masyarakat antarabangsa,” tambahnya.

Mesyuarat di Bangkok itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Myanmar, U Than Swe turut hadir.

Menurut Hossain, negara jiran tidak melihat kemungkinan Myanmar kembali kepada keadaan asalnya dalam masa terdekat.

Dalam mesyuarat itu, semua pihak menggesa Myanmar menyelesaikan isu dalaman melalui dialog dengan semua pihak berkepentingan.

Tentera Arakan kini menguasai lebih banyak kawasan di negeri Rakhine yang bersempadan dengan Bangladesh. Namun, Hossain menegaskan mengadakan rundingan rasmi dengan pihak yang kini menguasai kawasan itu adalah tidak praktikal.

"Saya beritahu beliau (Than Swe) yang sempadan Myanmar kini tidak lagi berada di bawah kawalan kerajaan. Sempadan itu kini dikuasai oleh pihak bukan kerajaan. Sebagai sebuah negara, kami tidak boleh terlibat dengan pihak seperti itu.

"Oleh itu, mereka (kerajaan Myanmar) perlu mencari penyelesaian kepada masalah sempadan dan isu Rohingya ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!