Polis tahan lelaki, selamatkan dua pengemis OKU warga China
JOHOR BAHRU - Dua orang kurang upaya (OKU) warga China yang menjadi pengemis pasar malam dan kedai makan di bandar raya ini diselamatkan polis pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejayaan itu susulan penahanan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dengan kes pemerdagangan dan penyeludupan orang.
"Lelaki berusia 67 tahun itu ditahan menerusi Ops Pintas Mega Tip di Jalan Perkasa 5, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada jam 10.50 malam.
"Hasil tangkapan suspek, pada hari yang sama jam 11 malam, serbuan dilakukan di sebuah premis di Jalan Temenggong 3 Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.
"Seorang lelaki warga China berusia 39 tahun diselamatkan bersama seorang wanita warga China berusia 36 tahun. Kedua-duanya merupakan OKU," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis membuat rampasan satu telefon bimbit, satu kad pemandu Agensi Pengangkutan Awam Darat, sebuah Proton Wira, kunci kereta, alat kawalan jauh kereta, kunci rumah dan alat kawalan jauh rumah milik mangsa.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai penghantar yang membawa dan menghantar mangsa untuk mengemis di pasar malam dan kedai makan sekitar Johor Bahru.
"Mereka telah aktif sejak awal November lalu dengan hasil kutipan mencecah RM50 hingga RM150 sehari," ujarnya.
Beliau memberitahu, seorang suspek yang ditangkap kini direman selama lima hari bermula Isnin hingga 27 Disember ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!