PGA tahan dua kenderaan, seludup 400,000 batang rokok
TUMPAT - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa menumpaskan kegiatan penyeludupan 400,000 batang rokok bernilai RM473,000 selepas menahan dua buah kenderaan semasa Op Taring Wawasan di Kampung Dalam di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, seorang lelaki berjaya ditahan untuk membantu siasatan manakala seorang lagi telah meloloskan diri.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai menjadi pengedar barangan tersebut untuk pasaran tempatan.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit telah menemukan 400,000 batang rokok.
"Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan suspek serta barangan rampasan diserahkan ke Komtak (Kompeni Taktikal) Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!