Pemandu lori maut kena serangan jantung, langgar tiga kenderaan
JOHOR BAHRU - Seorang pemandu dipercayai mengalami serangan jantung sehingga lori dipandunya hilang kawalan dan melanggar tiga kenderaan lain di Jalan Station di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pada jam 1.30 tengah hari itu membabitkan lori, pacuan empat roda dan dua buah kereta.
"Lori dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun itu sedang dalam perjalanan menghantar barangan perubatan di sekitar Johor Bahru.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa disyaki terkena serangan jantung dan hilang kawalan lalu melanggar tiga buah kenderaan yang dalam kedudukan diparkir di sebelah kanan jalan," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.
Menurut Raub, akibat kejadian tersebut mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelasnya, mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal dan disyaki meninggal dunia akibat serangan jantung.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Saksi awam yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulpaka Bambo 014-8861791," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!