PGA tahan PATI, penagih dadah, rampas kosmetik RM110,880
PASIR MAS - Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga orang penagih dadah dan merampas kosmetik bernilai RM110,880 dalam serbuan berasingan di sini pada Sabtu dan Ahad lalu.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pada Sabtu sekitar jam 3.15 petang semasa penugasan Op Taring Wawasan Batalion 7 PGA Kuantan telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Pengkalan Batu di sini dan menahan seorang PATI.
"PATI warganegara Myanmar ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan suspek disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
"Pada Ahad sekitar jam 11.30 pagi, Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menahan tiga lelaki di sekatan jalan raya Cabang Empat Salam kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, kesemua suspek yang berusia antara 23 hingga 38 tahun itu didapati positif dadah jenis ampetamine dan kes disiasat bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 Pindaan 1998.
Ujarnya, mereka diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.
Nik Ros Azhan memberitahu, pada hari yang sama sekitar jam 7.30 malam, Batalion 9 telah merampas barangan kosmetik bernilai RM110,880 yang ditemukan di pangkalan haram Epek, Rantau Panjang.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kosmetik terbabit dipercayai dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah untuk pasaran tempatan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan kesemua barangan rampasan diserahkan ke Komtak Taman Bakti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!