7 maut, 5 cedera bas mini terbalik di Afrika Selatan

Tujuh penumpang maut dan lima lagi cedera selepas bas mini yang dinaiki mereka terbalik di jalan N3 di wilayah timur laut Mpumalanga, Afrika Selatan awal pagi Isnin. Gambar hiasan
Tujuh penumpang maut dan lima lagi cedera selepas bas mini yang dinaiki mereka terbalik di jalan N3 di wilayah timur laut Mpumalanga, Afrika Selatan awal pagi Isnin. Gambar hiasan
A
A
A

JOHANNESBURG - Sekurang-kurangnya tujuh maut dan lima lagi cedera selepas bas mini yang dinaiki mereka terbalik di jalan N3 di wilayah timur laut Mpumalanga, Afrika Selatan, lapor Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan.

Menurut Jabatan Kerja Raya, Jalan Raya dan Pengangkutan Mpumalanga, nahas berlaku pada awal pagi Isnin ketika kenderaan itu dalam perjalanan dari Wilayah Gauteng ke Wilayah KwaZulu-Natal.

"Dua orang cedera parah manakala tiga lagi hanya cedera ringan. Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Frankfort berdekatan di Wilayah Free State," menurut Jabatan Keselamatan Komuniti, Keselamatan dan Penyelarasan Mpumalanga dalam satu kenyataan.

"Mangsa yang maut adalah penumpang," tambahnya.

Jackie Macie, anggota majlis eksekutif Mpumalanga untuk jabatan berkenaan berkata, punca kemalangan masih belum diketahui tetapi siasatan sudah bermula.

"Amat menyedihkan melihat pengakhiran yang begitu mendadak ketika mereka sepatutnya menyambut musim cuti bersama orang tersayang. Semua pengguna jalan raya harus sentiasa mengutamakan keselamatan mereka dan orang lain dengan berhati-hati," kata Macie.

Beliau menggesa pemandu untuk lebih berhati-hati dan menyesuaikan cara pemanduan dengan keadaan jalan, terutama pada waktu malam apabila jarak penglihatan berkurangan.

Sementara itu, Perbadanan Pengurusan Trafik Jalan Raya Afrika Selatan (RTMC) menyeru industri pengangkutan untuk mengambil langkah mengurangkan nahas jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan selepas nahas terbaru itu, RTMC menyatakan banyak kemalangan berlaku pada awal pagi, menunjukkan keletihan mungkin menjadi faktor penyumbang.

"Keletihan adalah antara penyebab utama nahas jalan raya, dengan kajian menunjukkan pemandu yang mengantuk dan terganggu lebih terdedah untuk terbabit dalam pelanggaran," kata RTMC.

"Keletihan fizikal dan mental boleh menjejaskan reaksi pemandu dalam membuat keputusan dan tumpuan,” tambahnya.

Pada Ahad, tujuh orang maut dan lima lagi cedera dalam kemalangan di Wilayah Limpopo. - Bernama-Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!