Sabah FC sahkan slot ke separuh akhir bertemu Sri Pahang FC
SABAH FC berjaya mengesahkan slot separuh akhir Piala Malaysia bertemu Sri Pahang FC apabila mencatat agregat 1-0 dalam saingan suku akhir menentang Kuching City FC.
Pada perlawanan kedua suku akhir malam ini, Sabah FC hanya mampu seri 0-0 menentang pasukan jiran Borneo itu di Stadium Likas di sini.
Perlawanan malam ini menyaksikan Kuching City FC lebih banyak mengatur gerakan serangan, namun pertahanan Skuad Badak yang dikemudi kapten Dominic Tan kental menyerap asakan pasukan pelawat itu.
Sabah FC gusar pada minit ke-51 apabila penjaga golnya, Damien Lim dikatakan menjatuhkan Jordan Mintah dalam kotak penalti, namun pengadil Suhaizi Shukri tidak memberikan sepakan penalti selepas melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Suku akhir pertama pada 15 Disember di Stadium Negeri, Sarawak menyaksikan Sabah FC mencatat kemenangan 1-0 menentang Kuching City FC, dengan gol jaringan Muhammad Farhan Roslan.
Semalam, Pahang FC yang layak ke separuh akhir selepas mengatasi Perak FC dengan agregat 4-3, sementara satu lagi saingan menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta'zim FC bertemu Terengganu FC. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!