Enam maut, kemalangan babit tiga kenderaan di Lebuhraya PLUS
ALOR GAJAH - Enam dilaporkan maut setakat ini dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204.0 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada Isnin.
Kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu melibatkan sebuah bas persiaran, treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.
Difahamkan identiti semua masing masih belum dapat dikenal pasti.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 8.45 malam dan sampai ke lokasi jam 8.56 malam.
"Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah Toyota Estima yang membawa lapan penumpang yang lima daripadanya telah disahkan meninggal dunia.
"Sebuah lagi bas persiaran membawa 27 penumpang dengan dua pemandu yang mana salah seorang daripadanya juga telah meninggal dunia," katanya.
Menurutnya, terdapat dua penumpang di dalam treler yang terlibat dalam kemalangan itu, namun statusnya masih belum dikenal pasti kerana dalam proses dikeluarkan.
Tambahnya, kerja-kerja menyelamat masih sedang dilakukan dan kejadian itu turut menyebabkan berlaku kesesakan lebih dua kilometer di kedua-dua arah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!