Angkara kenderaan berat
KUALA LUMPUR - Tiada hari tanpa tragedi membabitkan kenderaan berat. Itu yang dapat disimpulkan daripada statistik Polis Diraja Malaysia apabila 825 buah lori didapati terlibat dalam kemalangan maut dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Secara purata, tiga buah lori terlibat nahas dalam sehari, yang turut menyumbang kepada 5,364 kematian berbanding 6,024 sepanjang 2023.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan membabitkan kenderaan berat itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 17,905 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut dari Januari hingga Oktober lalu.
“Daripada jumlah itu, 15,402 pula melibatkan kereta, diikuti motosikal (1,040), pacuan empat roda (619) dan pejalan kaki (19),” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Yusri berkata, sebanyak 38,367 saman trafik turut dikeluarkan terhadap kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga September lalu menerusi 4,822 operasi di seluruh negara.
“Kita juga telah menyita 177 pelbagai kenderaan perdagangan, selain turut maklum mengenai peningkatan kemalangan membabitkan kenderaan berat sejak kebelakangan ini,” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan utama yang dikesan adalah lori membawa muatan tidak kemas serta berbahaya, tiada bunga tayar, lampu signal dan brek tidak berfungsi.
“Lori kecil, treler dan lori kontena merupakan penyumbang tertinggi kes kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya.
Mohd Yusri berkata, pihaknya juga sentiasa proaktif dalam menjalankan operasi penguatkuasaan.
“Kita tidak akan berkompromi dan bertindak tegas bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Mohd Yusri juga mengingatkan semua pemandu kenderaan berat yang mengalami kerosakan supaya meletakkan papan tanda mencukupi bagi memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya lain.
“Kenderaan yang mengalami kerosakan itu juga perlu berada di lorong kecemasan dan pastikan terdapat banyak papan tanda sebagai amaran awal. Langkah sebegini penting bagi mengelakkan kemalangan melibatkan kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan,” katanya.
Mohd Yusri berkata, pihaknya menyeru pengusaha dan majikan kenderaan perdagangan agar melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman.
“Ia bagi memastikan tahap kesihatan pemandu dengan kesiapsiagaan dan tahap kemahiran pemanduan.
“Penyelenggaraan berkala dipatuhi dan dilaksanakan tanpa gagal, selain pemeriksaan kenderaan untuk layak dipandu di jalan raya,” katanya.
Kehadiran terlalu banyak kenderaan berat terus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan di jalan raya, selain menyebabkan kesesakan terutama pada musim perayaan.
Terbaharu Ahad lalu, sebuah lori tangki melintang di tengah jalan sehingga menghalang laluan di Kilometer 264.4 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Terowong Menora, Ipoh.
Plus Malaysia Berhad (Plus) menerusi aplikasi X memaklumkan, kejadian itu mengakibatkan semua lorong arah utara terhalang dan aliran trafik tidak bergerak sejauh lebih 6.5 kilometer.
Sebelum ini, satu kajian oleh lima penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia dan Lembaga Leburaya Malaysia yang dikongsi di Facebook Public Health mendapati walaupun jumlah kenderaan berat yang menggunakan lebuh raya tersebut hanya sembilan peratus pada tahun 2021, namun kemalangan maut melibatkan kenderaan ini hampir mencecah 50 peratus.Secara keseluruhan, jumlah kenderaan berdaftar yang masih aktif di negara ini adalah kira-kira 24 juta seperti diberitahu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada tahun lalu.
Kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 17,244,978 unit, diikuti motosikal (16,773,112), kenderaan untuk mengangkut barangan (1,429,403), teksi (84,745) dan bas (64,021).
Selain itu, Statistik Pengangkutan Malaysia 2023 yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan menunjukkan terdapat 399,423 unit lori pembawa kelas 'A' dan 'C'.
Contoh kenderaan berat ini ialah lori tangki, lori barang berserta kren, lori balak, lori simen, pengangkut kenderaan dan treler kontena.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!