Hanya 32 peratus patuhi standard keselamatan

Kegagalan mematuhi standard keselamatan turut menyumbang kepada kemalangan melibatkan kenderaan berat. Gambar hiasan (Gambar kecil: Siti Zaharah)
Kegagalan mematuhi standard keselamatan turut menyumbang kepada kemalangan melibatkan kenderaan berat. Gambar hiasan (Gambar kecil: Siti Zaharah)
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) terhadap pematuhan Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP) mendedahkan hanya 32 peratus pengendali kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan mematuhi standard itu pada tahun 2022.

ICOP menyediakan panduan keselamatan operasi kepada pengendali bas berlesen serta kenderaan barangan termasuk langkah penting untuk mematuhi keperluan keselamatan.

Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak berkata, tahap pematuhan bagaimanapun direkodkan lebih tinggi iaitu 93.6 peratus dalam kalangan pengendali yang mempunyai lebih daripada empat permit kenderaan.

“Dari segi kategori kenderaan, 78 peratus pengendali bas ekspres dan bas persiaran mencatatkan pematuhan lebih baik iaitu 71 peratus berbanding lori (4 peratus) dan bas pekerja (0 peratus).

“Dapatan ini menunjukkan wujud keperluan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan melalui latihan, bimbingan dan audit yang lebih kerap, dengan penekanan terhadap pengendali yang mencatat tahap pematuhan rendah.

“Pendekatan ini diharap dapat meningkatkan keselamatan dalam kalangan pemandu dan operator kenderaan berat,” ujarnya kepada Sinar Harian.Siti Zaharah memberitahu, secara keseluruhan MIROS telah mengeluarkan lima garis panduan kepada industri bagi meningkatkan keselamatan kenderaan berat.

Menurutnya, Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Untuk Pengangkutan menjadi panduan asas kepada sektor tersebut.

“Bagi memberi panduan praktikal kepada majikan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja serta orang awam dalam aktiviti pengangkutan jalan, Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan (2010) digunakan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu terdapat juga panduan khusus untuk sektor perkhidmatan kurier bagi memastikan keselamatan dan kecekapan operasi,” katanya.

Siti Zaharah memaklumkan MIROS turut melakukan pelbagai kajian bagi memahami dan menangani isu keselamatan membabitkan kenderaan berat seperti lori dan bas.

Antaranya analisis ciri-ciri kemalangan kenderaan berat dan kajian keletihan pemandu lori.

Beliau menjelaskan, kajian seperti ini bertujuan mengenal pasti faktor penyumbang kepada kemalangan seperti keletihan, kelajuan kenderaan, serta risiko berkaitan masalah tidur apnea.

-- INFO

Antara punca kemalangan kenderaan berat

- Pandu laju

- Terlebih muatan

- Brek rosak

- Tayar pecah

- Tertidur

- Pemandu keletihan

- Kurang pengalaman

- Tak patuh lampu isyarat

- Berhenti sesuka hati di tepi jalan

- Cuai sehingga kenderaan tiba-tiba mengundur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!