Tragedi kenderaan berat seperti tiada kesudahan
SETIAP hari ada sahaja insiden kemalangan jalan raya yang dilaporkan media melibatkan kenderaan berat.
Malah ia semakin membimbangkan apabila kes tersebut dilihat bagaikan tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kehilangan nyawa sekali gus menimbulkan kegusaran pengguna jalan raya, terutamanya kenderaan ringan seperti penunggang motosikal dan pemandu kereta.
Terbaharu, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tragedi membabitkan kenderaan berat di mana 825 lori terlibat kemalangan maut dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan membabitkan kenderaan berat itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 17,905 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut dari Januari hingga Oktober lalu.
Antara kes yang dilaporkan pada Ahad lalu melibatkan sebuah lori tangki melintang di tengah jalan sehingga menghalang laluan di Kilometer 264.4 Lebuhraya Utara-Selatan di Terowong Menora, Ipoh.
Malah pada Sabtu, perjalanan pulang tiga beranak bersama seorang rakan ke rumah bertukar detik cemas apabila sebiji tayar daripada treler tercabut lalu menghentam kereta yang dinaiki mereka di Kilometer (KM) 14, Jalan Jerantut-Maran-Kuantan berhampiran Jambatan Sungai Salan di Jerantut.
Terdapat juga kes melibatkan seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera apabila dihempap kontena yang dibawa sebuah treler dalam kejadian di Jalan Kebun Sireh, Bukit Mertajam pada November lepas.
Dalam pada itu, Pengerusi Lori Balak Terengganu, Ibrahim Mamat berkata, kurang pengalaman dan tidak mahir dalam mengendalikan lori atau treler merupakan antara punca kenderaan berat sering rosak atau terkandas di pinggir jalan raya sehingga turut menyebabkan kemalangan.
Katanya, ia kerana kebanyakan anak muda hanya tahu memandu, namun kurang cakna tentang keperluan menyelenggara, selain tidak mengetahui kaedah terbaik untuk mengelakkan kenderaan tersebut daripada terlibat kemalangan.
Pada masa sama, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, situasi itu bukan sahaja mengancam nyawa pengguna tetapi turut mendedahkan isu sistematik dalam sektor pengangkutan dan logistik di Malaysia.
Persoalannya, apakah jalan penyelesaian yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agar kita tidak lagi perlu mendengar berita kematian membabitkan kenderaan berat?
Ini kerana, ia bukan sahaja mengancam nyawa yang tidak berdosa di jalan raya tetapi juga merosakkan imej sektor pengangkutan dalam negara.
Justeru itu, semua pihak diingatkan supaya berhati-hati dan menitikberatkan isu keselamatan apabila memandu supaya kes kemalangan di jalan raya dapat dikurangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!