Perangi dadah antara cabaran utama
SHAH ALAM - Memerangi kes berkaitan dadah yang semakin mengancam kesejahteraan rakyat khususnya golongan muda antara cabaran dilalui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sepanjang dua tahun menerajui kementerian itu.
Menurutnya, usaha memerangi musuh nombor satu negara itu dilakukan sejak lebih empat dekad lalu dan hingga kini ia belum menampakkan tanda penyelesaian dek kerana ancaman dadah jenis baharu atau sintetik.
Justeru, katanya, tindakan polis Kelantan melarang mana-mana individu menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand merupakan langkah drastik untuk mengekang pelbagai mod penyeludupan terutama dadah ke negeri berkenaan.
Beliau berkata, penguatkuasaan melalui pemantauan 24 jam di kawasan terlibat membolehkan ancaman keselamatan dikurangkan.
“Selama berdekad lamanya mereka guna (pangkalan haram) bukan sahaja untuk pergerakan manusia dan barangan seperti minyak masak, gas tetapi juga penyeludupan dadah dan senjata api.
“Jadi, di sinilah ancaman keselamatan berlaku sebab mod penyeludupan itu. Mereka menggunakan binatang, misalnya dengan memasukkan barang larangan (dadah) di dalam tubuh bintang seperti lembu dan babi.
“Inilah latar belakang (bermulanya langkah tidak benarkan guna pangkalan haram). Idea diumum Ketua Polis Kelantan untuk ketatkan kawasan itu merupakan menguruskan perkara ini sahaja,” katanya ketika wawancara khas baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan dibuat polis Kelantan yang tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand bermula 1 Disember lalu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebanyak 160 jalan tikus atau pangkalan haram dikesan di seluruh Semenanjung dengan sebahagian besarnya terletak di Kelantan, Kedah dan Perlis.
“Jumlah pintu masuk rasmi pula adalah sebanyak 141. Pintu masuk rasmi ini merujuk laluan yang diwartakan dan diperakui oleh kedua-dua negara berjiran yang berkongsi sempadan,” katanya.
Sementara itu, menjawab kawalan ketat yang dilaksanakan di Kelantan ketika ini, beliau berkata, ia mengambil kira ancaman dadah khususnya jenis sintetik yang berlaku di Kelantan.
Beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, jumlah rampasan pil kuda merekodkan sebanyak satu tan metrik atau kira-kira 100 kilogram (kg) sebulan di Kelantan.
“Data menunjukkan seriusnya penyeludupan yang menjurus ke situ (Kelantan) serta data-data lain. Contohnya, ada empat sumber data tentang dadah iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), bahagian narkotik Bukit Aman dan pusat pemulihan narkotik swasta,” katanya.
Menyentuh lebih lanjut ancaman dadah jenis sintetik di Kelantan, Saifuddin berkata, kerjasama semua pihak penting dalam memerangi ancaman tersebut.
“Satu research yang dibuat oleh Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati masalah di Kelantan ini bukan lagi merokok, bukan lagi cikgu pun hisap rokok dalam beg tetapi semua cerita tentang vape, dadah mushroom.
“Penggunaan vape yang cecairnya dicampurkan dengan dadah sintetik dikenali sebagai mushroom ini adalah dadah sintetik yang sangat bahaya. Dadah jenis baharu yang tidak tersenarai lagi dalam akta dadah atau racun. Kita sedang semak untuk untuk dimasukkan dalam perundangan,” katanya.
20,000 banduan disasar jalani tahanan rumah
Ditanya mengenai Akta Tahanan Rumah yang bakal dibentangkan tahun depan, Saifuddin menjelaskan, seramai 20,000 daripada 28,000 banduan yang menjalani tahanan reman disasarkan terlibat bagi mengurangkan masalah kesesakan di penjara.
“Kita ada dua pilihan sama ada peluk tubuh dan mengharapkan keadaan akan berubah atau buat sesuatu. Itu yang kita timbulkan tahanan di rumah.
“Jumlah yang 20,000 inilah yang kita sasarkan, manakala 8,000 kes yang terlibat dengan rogol, bunuh dan sebagainya tidaklah ditahan di rumah.
“Tujuan kita bukan sahaja hendak kurangkan beban kewangan kerajaan tapi turut mengambil kira isu manusiawi. Maksudnya, kalau katakanlah yang diperintahkan ditahan reman itu adalah wanita mengandung, takkanlah kita hendak letak dalam penjara. Jadi, kita pakaikan gelang duduk di rumah sampai dia melahirkan anak misalnya,” ujar beliau.
Menurutnya, kebanyakan kes yang menyumbang kesesakan di penjara juga melibatkan tahanan berkaitan dadah.
Gaji rendah bukan sebab utama
Sementara itu, ditanya keyakinan beliau dengan kenaikan gaji dan elaun yang akan dinikmati pasukan keselamatan termasuk polis mampu mengurangkan salah laku rasuah dan pelanggaran integriti khususnya melibatkan anggota bawahan, Saifuddin Nasution berkata, gaji kecil bukan penyebab utama.
Beliau berkata, ia dibuktikan dengan pelbagai kes turut membabitkan pegawai berpangkat tinggi.
“Kita harus akui gaji rendah ditambah komitmen tinggi maka itu mendorong terlibat rasuah. Rasuah ini berlaku kerana peluang itu ada terutamanya bagi mereka yang tidak ada kekuatan integriti.
“Pokok pangkalnya kalau gaji rendah sahaja punca terlibat rasuah itu jawapannya tidak sebab kalau kita lihat yang terjebak dengan rasuah itu bukan mereka yang berdepan dengan masalah kewangan pun. Pendapatan tinggi juga,” katanya.
Beliau bagaimanapun turut mengakui kenaikan gaji penjawat awam termasuk polis seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memberi kelegaan besar buat pasukan di bawahnya itu.
Polis tidak hentikan usaha bawa balik Jho Low
Saifuddin menegaskan, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menghentikan usaha mengesan dan membawa balik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk didakwa kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurutnya, kesungguhan itu dibuktikan dengan kejayaan membawa pulang bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan baru-baru ini.
“Kita dah bawa balik Jasmine, maknanya kita tidak pernah berhenti (mencari Jho Low). Kerjasama pihak polis dengan Interpol berjalan macam biasa,” katanya.
KDN bawa pulang enam rakyat Malaysia terlibat Daesh di Syria
Sementara itu, Saifuddin Nasution menjelaskan trend ancaman kumpulan pengganas Daesh di negara ini terkawal.
Katanya, serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor sebelum ini hanya membabitkan jenayah dilakukan secara individu bukan melibatkan kumpulan atau gerombolan tertentu.
“Baru-baru ini saya mempengerusikan mesyuarat Pelan Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (PCVE) dan diberikan pembentangan oleh Cawangan Khas E8 tentang trend Daesh. Apa yang saya boleh katakan keupayaan agensi perisikan kita memang terbaik. Kita ada profiling yang sangat jelas.
“Sama ada dia (suspek terlibat Daesh) ada di Syria dan sebagainya. Semua itu kita ada profil mereka. Baru-baru ini kita bawa balik lima hingga enam rakyat Malaysia di Syria. Mereka hubungi kita untuk balik.
“Mereka dibawa balik termasuk wanita dan kanak-kanak akan mengikuti program deradikalisasi yang dibangunkan oleh PDRM untuk mengubah mereka daripada ekstrem dan radikal kepada menjadi rakyat biasa,” katanya.
Dalam pada itu berhubung penemuan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine, beliau mengesahkan individu itu rakyat negara ini hasil siasatan terhadap keluarga suspek.
Bagaimanapun katanya, polis masih meneruskan siasatan lanjut kes tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!