Telefon mak ayah pun kena check juga!
BARU-BARU ini, Merak Jalanan terserempak dengan seorang sahabat lama. Oleh kerana sudah lama tak jumpa, Merak Jalanan ajak dia minum di Restoran Hakim di Seksyen 7.
Sambil pekena mi goreng dan nescafe ais, dia cerita fasal orang tua dia kena scam dengan Love scam. Bukan sikit kerugian tapi ribu-ribu ringgit juga.
Habis duit simpanan lebur begitu saja. Menangis pun dah tak guna. Nasib baik tak meminjam daripada anak-anak dan saudara mara. Kalau tidak, jenuh juga nak membayar hutang.
Merak Jalanan termenung sejenak. Kes warga emas jadi sasaran utama scammer memang makin menjadi-jadi sekarang ini.
Kita sebagai anak dan cucu kena selalu ingatkan orang tua kita supaya jangan mudah terpedaya.
Kalau bukan kita yang jaga orang tua kita, siapa lagi? Tapi kadang-kadang mereka lebih percaya orang luar daripada anak beranak, dah terkena baru menganga!
Nampaknya, sekarang ni bukan telefon anak-anak saja kena check, telefon mak ayah pun kena check juga. Jangan layan benda bukan-bukan di telefon bimbit.
Scammer menjalankan kerja mereka dengan cara menghubungi menerusi panggilan telefon atau mengumpan di media sosial seperti Facebook.
Menurut PDRM, walaupun bilangan mangsa dalam kalangan warga emas tak sebanyak golongan lain, jumlah kerugian yang ditanggung sangat mengejutkan. Golongan berusia 50 tahun ke atas mengalami kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian sepanjang 2022 dan 2023.
Kita kenalah selalu kongsi pasal penipuan online ini dengan keluarga terutama ibu bapa kita.
Lagi banyak kita kongsi, lagi banyak kita boleh elak orang sekeliling kita daripada jadi mangsa. Penipuan online ni tak kenal siapa. Semoga ALLAH melaknat scammer-scammer ini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!