UniKL akhiri saingan liga tanpa kalah

Pemain UniKL menjulang trofi kejuaraan liga setelah menamatkan saingan musim ini dengan rekod tanpa kalah selepas seri 1-1 menentang TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Pemain UniKL menjulang trofi kejuaraan liga setelah menamatkan saingan musim ini dengan rekod tanpa kalah selepas seri 1-1 menentang TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JUARA Liga Hoki Malaysia (MHL) 2020, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menamatkan saingan musim ini dengan rekod cemerlang 14 perlawanan tanpa kalah selepas seri 1-1 menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan nama UniKL selaku antara pasukan terbaik tanah air apabila mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut, selain merangkul gelaran juara Piala Sumbangsih 2020 bulan lepas.

Pada aksi terakhir saingan itu, skuad bimbingan ketua jurulatih Arul Selvaraj ditentang sengit sepanjang perlawanan, sebelum TNB berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-51, menerusi gol padang Muhammad Shahril Saabah.

Tersentak dengan itu, UniKL yang konsisten mengutip tiga mata dalam 13 perlawanan sebelum ini, bangkit menyamakan kedudukan lima minit berselang, hasil jaringan Mohamad Ashran Hamsani sekali gus memberi kelegaan kepada pasukan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Arul berkata, keputusan hari ini memberikan satu petanda positif menjelang aksi separuh akhir Piala TNB 2020 berdepan Maybank, Rabu ini.

“Ia satu perlawanan yang mencabar, kedua-dua pasukan memberikan aksi terbaik dan ia juga satu aksi pemanas badan yang baik, sebelum aksi separuh akhir Piala TNB.

“Ia satu perlawanan menang atau kalah, kami akan bermain sebagai juara dan kami perlu bermain dengan keyakinan,” katanya.

Sejurus tamat perlawanan, UniKL yang telah mengesahkan kejuaraan LHM 2020 lebih awal, dinobatkan secara rasmi dalam satu majlis yang dihadiri Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal dan Presiden UniKL, Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Artikel Berkaitan:

Sebagai juara, UniKL yang mengumpul 40 mata keseluruhan membawa pulang trofi kemenangan dan hadiah wang berjumlah RM100,000.

TNB muncul pasukan naib juara dan membawa pulang hadiah wang berjumlah RM60,000 sementara Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga, dan membawa pulang hadiah wang berjumlah RM40,000. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!