'Pemandu muda kurang pengalaman'

Ibrahim bersama lori balak dipandunya.
Ibrahim bersama lori balak dipandunya.
A
A
A

SHAH ALAM - Kurang pengalaman dan tidak mahir dalam mengendalikan lori atau treler merupakan antara punca kenderaan berat sering rosak atau terkandas di pinggir jalan raya sehingga turut menyebabkan kemalangan.

Pengerusi Persatuan Lori Balak Terengganu, Ibrahim Mamat berkata, ia kerana kebanyakan anak muda hanya tahu memandu, namun kurang cakna tentang keperluan menyelenggara, selain tidak mengetahui kaedah terbaik untuk mengelakkan kenderaan tersebut daripada terlibat kemalangan.

Menurutnya, sikap manusia itu sendiri yang menjadi penyebab berlakunya peningkatan kemalangan, melainkan pemandu tersebut sudah mahir selok-belok kenderaan berat atau mempunyai pengalaman puluhan tahun.

“Lori zaman sekarang serba canggih, ada radio, pendingin hawa dan sebagainya tapi mereka tak sedar kalau pasang pendingin hawa, radio kuat tetapi tutup cermin tingkap, mereka tak boleh dengar ada dentuman tayar pecah atau bau asap daripada kegagalan brek.

“Tayar pun sudah berbeza sekarang. Kalau pecah memang tak keluar bunyi kuat dan kita pun tak perasan ia terjadi pada lori kita.

“Kemudian bawa lori laju macam pandu kereta dan brek kecemasan pula tak makan, itulah yang menyebabkan kemalangan, ditambah pula muatan berat tak mampu ditampung lori.

“Kalau orang yang berpengalaman berpuluh tahun macam saya, memang kita buka cermin sewaktu memandu sebab nak tahu dan hidu sekiranya ada kerosakan pada lori. Ini mampu mengurangkan risiko kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Dr Fauziah
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Dr Fauziah

Menurut Ibrahim, setakat ini tiada aduan kepada pihaknya berhubung pengabaian aspek penyelenggaraan lori atau treler.

Katanya, ini kerana lori yang dipandu masing-masing wajib dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan sekali.

“Penyelenggaraan tayar, brek, gear dan lain-lain semuanya akan diperiksa dengan teliti di Puspakom. Bagi saya, bab itu tiada masalah.

“Tetapi, kalau kes berhenti tepi jalan sesuka hati itu memang boleh dikatakan mereka tak tahu apa-apa disebabkan sikap masing-masing, sedangkan parkir di kaki lima pun tak boleh apatah lagi tepi jalan sebab tak tahu tanah boleh mendap,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, tidak dinafikan masih terdapat segelintir pemandu lori yang ‘menipu’ muatan disebabkan pulangan diterima tidak berbaloi dengan masa dan duit minyak.

“Terpaksa isi lebih muatan dan tak ikut spesifikasi ditetapkan kerana tambang tak mencukupi dengan harga minyak.

“Memang tak berbaloi dan kami semakin rugi,” kata Ibrahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!