[VIDEO] Nahas 5 kenderaan: Tujuh termasuk bayi maut, 33 cedera
ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Tujuh maut termasuk bayi lelaki dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di sini pada Isnin.
Kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu melibatkan antaranya sebuah bas persiaran, treler membawa muatan guni pakaian bundle dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki lapan sekeluarga.*
Pengarah JBPM, Mohd Pisar Aziz berkata, mangsa yang meninggal dunia membabitkan lima daripada lapan penumpang MPV terbabit iaitu dua wanita, dua lelaki dan seorang bayi lelaki manakala tiga yang lain tercedera.
Menurutnya, dua mangsa yang meninggal dunia merupakan penumpang wanita bas persiaran dan pemandu lelaki bas terbabit yang difahamkan dalam perjalanan menghala ke arah selatan.
"Mangsa terlibat seramai 40 orang dan tujuh daripadanya meninggal dunia. Seramai 33 mangsa dihantar ke hospital akibat cedera.
"Kita mengambil masa lebih kurang empat jam dan operasi ni semua dalam keadaan terkawal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambahnya, seramai 17 mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka, 10 menerima rawatan di Hospital Alor Gajah dan enam mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pantai.
"Mayat kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat," katanya lagi.
Tinjauan di lokasi mendapati kenderaan MPV remuk teruk di antara kedua-dua kenderaan berat tersebut selain lebih 20 guni pakaian bertaburan di atas jalan.
Bagaimanapun, semua identiti semua mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan enam dilaporkan maut setakat ini dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!