[VIDEO] Nahas 5 kenderaan: 'Sambut hari lahir anak serentak petanda pergi selamanya'

A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita tidak menyangka keceriaan abang dan kakak iparnya yang menyambut serentak ulang tahun kelahiran anak merupakan kenangan terakhir mereka bersama sebelum pasangan itu terkorban dalam kemalangan malam Isnin.

Nur Aqilah Mazupi, 31, berkata, sebelum ini abang, Khairul Ikhwan dan isterinya, Fadzlenna Ramli, masing-masing berusia 32 tahun tidak pernah menyambut ulang tahun kelahiran ketiga-tiga anak mereka berusia tujuh, empat dan dua tahun.

Menurutnya, masih terngiang-ngiang di telinganya apabila arwah memaklumkan meraikan majlis sambutan itu supaya dapat berlaku adil kepada anak-anaknya termasuk bayi lelaki berusia dua tahun secara serentak di kediaman mereka di Bangi, Selangor pada awal bulan ini.

Nur Aqilah menunjukkan gambar keluarga arwah abangnya yang terkorban dalam kemalangan yang turut meragut nyawa kakak ipar serta anak saudaranya.
Nur Aqilah menunjukkan gambar keluarga arwah abangnya yang terkorban dalam kemalangan yang turut meragut nyawa kakak ipar serta anak saudaranya.

"Sebelum ini, tak pernah pun mereka sambut ulang tahun kelahiran bersama-sama sedangkan salah seorang anak saudara saya menyambut ulang tahun pada Februari depan manakala dua lagi pada Disember ini.

"Rupanya itu yang pertama dan terakhir mereka sambut ulang tahun anak-anak selain seorang anak bongsu mereka juga turut terkorban dalam insiden itu," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini pada pagi Selasa.

Nur Aqilah yang bekerja sendiri berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan keluarga abangnya itu pada Sabtu lalu sebelum arwah sekeluarga bertolak ke Melaka untuk perjumpaan keluarga yang diadakan oleh keluarga sebelah kakak iparnya.

"Tiada sebarang perubahan atau apa yang pelik, cuma anak buah saya iaitu anak bongsu arwah, Umar beberapa kali melambai-lambai ke arah kami, sebelum kenderaan bergerak hingga mereka hilang daripada pandangan.

Artikel Berkaitan:

"Itulah lambaian terakhir yang kami terima sebelum menerima khabar mereka tiga beranak maut manakala dua anak mereka masih dirawat di hospital," katanya.

Ibu Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi dipeluk ahli keluarga sebaik tiba di pekarangan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka pada pagi Selasa.
Ibu Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi dipeluk ahli keluarga sebaik tiba di pekarangan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka pada pagi Selasa.

Tambah anak bongsu daripada tiga beradik itu, pasangan terbabit yang kedua-dua bekerja sebagai pembantu perubatan bukan sahaja rapat dengan adik-beradik lain, malah sikap mereka suami isteri yang suka membantu orang.

"Abang saya bekerja di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala isterinya di Hospital Serdang dan kedua-duanya sangat baik orangnya.

"Setakat ini, saya belum berbincang dengan keluarga ketiga-tiga arwah akan dikebumikan di mana dan menunggu ibu ayah yang datang ke sini dari Kuala Lumpur," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan tujuh maut termasuk lima sekeluarga apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di sini pada Isnin.

Mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam, pemandu dan penumpang MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; isterinya Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka Muhammad Umar Khairul Ikhwan dua tahun, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isteri serta pemandu bas pelancong Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang belum diketahui identiti.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dua lagi anak pasangan itu, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan empat tahun dirawat di zon kuning Hospital Melaka dan Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan tujuh tahun dirawat di zon merah hospital yang sama.

Turut tercedera anak saudara pasangan itu yang dipercayai seorang kanak-kanak, namun belum dikenal pasti identitinya.

Ujarnya, punca kemalangan disebabkan bas pelancong terbabit melanggar tayar lori di tengah jalan menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan tiga kenderaan lain.

Seramai 40 orang dan tujuh daripadanya meninggal dunia, manakala 33 orang telah dihantar ke hospital akibat cedera dalam kemalangan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!