Sporting Lisbon mahu pecat pengganti Amorim
SPORTING Lisbon dilaporkan bersedia untuk memecat pengganti Ruben Amorim iaitu Joao Pereira hanya sebulan selepas mengendalikan kelab itu.
Selepas lebih empat tahun di Sporting, Amorim meninggalkan kelab itu bulan lalu untuk menggantikan Erik ten Hag di Manchester United.
Semasa di bawah kendalian Amorim, Lisbon memenangi kejuaraan liga pertama dalam tempoh lebih dua dekad sebelum mengulangi kejayaan itu musim lalu.
Selepas Amorim berpindah, kelab itu melantik bekas pemain antarabangsa Portugal Joao Pereira untuk berkhidmat sebagai penggantinya.
Pereira sebelum ini pernah menguruskan pasukan kedua kelab itu dan mengemudi pasukan utama pada 11 November lalu.
Bagaimanapun, dia hanya berjaya membantu pasukan itu memenangi hanya satu daripada empat perlawanan liga pertamanya dan kelab itu dilaporkan akan memecat pengendali berusia 40 tahun itu.
Menurut media Portugal, Record News, keputusan itu dibuat selepas prestasi buruk kelab baru-baru ini termasuk kekalahan 1-5 kepada Arsenal dan kekalahan 1-2 kepada Club Brugge dalam Liga Juara-Juara.
Laporan itu menyatakan bahawa pengurusan tertinggi kelab akan mengadakan pertemuan dengan Pereira selepas cuti Krismas dan dia dijangka tidak akan mengemudi pasukan ketika Lisbon menjadi tuan rumah kepada Benfica pada Ahad ini.
Walaupun prestasi kurang baik pasukan tersebut, namun di bawah Pereira, Lisbon kekal di puncak Liga Primeira, mendahului Porto di tangga kedua dengan perbezaan gol.
Kelab itu juga telah mara ke suku akhir Piala Portugal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!