RUU Pekerja Gig sokong peluang pendapatan fleksibel

Sebarang perubahan peraturan menggalakkan inovasi dan memberikan kebebasan kepada pekerja gig.
Sebarang perubahan peraturan menggalakkan inovasi dan memberikan kebebasan kepada pekerja gig.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggubalan Rang UndangUndang (RUU) Pekerja Gig perlu menyokong peluang pendapatan yang fleksibel dan boleh disesuaikan dengan perubahan keperluan kedua-dua pasaran tempatan serta ekonomi gig.

Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia berkata, fleksibiliti itu wajar dipelihara walaupun mereka diberikan beberapa perlindungan sosial dan sebarang peraturan tidak seharusnya mengenakan model atau kategori kerja tradisional kepada pekerja gig.

Menurutnya, berdasarkan kajian MyDigital, 60 peratus responden menunjukkan waktu kerja yang fleksibel menjadi faktor utama motivasi utama mereka selain pendapatan tambahan dan kebolehcapaian.

Pekerja ekonomi gig mengharapkan mereka diberikan keselesaan dan terjamin.
Pekerja ekonomi gig mengharapkan mereka diberikan keselesaan dan terjamin.

“Kami menawarkan peluang pendapatan fleksibel yang dilengkapi GrabBenefits iaitu program faedah pertama seumpamanya untuk ekonomi gig Malaysia yang bertujuan melindungi mata pencarian serta kebajikan mereka.

“Kami berdedikasi untuk memupuk persekitaran di mana pekerja gig boleh berkembang maju dan peraturan mesti menyokong peluang pendapatan yang fleksibel serta bersesuaian dengan perubahan.

“Diharapkan ada kerjasama dan penglibatan berterusan dengan kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan masa depan yang seimbang, adil dan mampan untuk industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut MyDigital, perubahan peraturan juga perlu mempertimbangkan sifat kepelbagaian kerja gig dan memastikan pekerja sektor itu mempunyai akses kepada perlindungan yang sesuai tanpa mengenakan beban tidak wajar.

Katanya, memperkenalkan perlindungan akan meningkatkan kos untuk semua pihak yang terlibat dan ia membawa kepada harga lebih tinggi untuk pengguna menyebabkan permintaan berkurangan dan pendapatan menjadi rendah untuk rakan kongsi.

Maka, mana-mana dasar sedemikian mesti diperkenalkan secara beransuransur untuk memberi masa kepada pasaran untuk menyesuaikan diri.

“Pasaran lain di seluruh dunia telah menghadapi cabaran ini dengan dasar yang secara tidak sengaja meningkatkan kos apabila ia diperkenalkan, akhirnya membahayakan pekerja gig yang cuba mereka lindungi,” ujarnya.

Tambah Grab Malaysia, sebarang perubahan peraturan sepatutnya menggalakkan inovasi sambil melindungi kebebasan pekerja gig kerana sektor tersebut luas, pelbagai dan berkembang pesat merentas banyak industri.

Ia termasuk hiburan, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan. Malah, di Malaysia sahaja terdapat lebih 120 platform buruh digital berbanding hanya 11 kurang daripada sedekad lalu.

“Pertumbuhan pesat ini bermakna sebarang peraturan akan memberi kesan kepada kumpulan tenaga kerja Malaysia yang lebih besar, menjadikan kerjasama erat penting dalam penggubalannya.

“Kami percaya dengan memupuk kerjasama antara pengawal selia, platform dan pekerja gig, kami boleh mencipta penyelesaian yang inovatif dan mampan bagi memenuhi keperluan semua orang,” katanya.

Penangguhan RUU Pekerja Gig beri peluang pemain industi gig terlibat

Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan terutamanya pemain industri sektor gig untuk terlibat bagi membangunkan akta yang seimbang dan inklusif.

Syarikat penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda berkata, pihaknya yakin bahawa hasil yang adil boleh dicapai melalui kerjasama yang dicapai sebelum pembentangan akta tersebut.

Foodpanda menyokong inisiatif kerajaan yang meningkatkan kebajikan pekerja gig.
Foodpanda menyokong inisiatif kerajaan yang meningkatkan kebajikan pekerja gig.



“Walaupun masih terlalu awal untuk menentukan bagaimana RUU yang dicadangkan ini akan memberi kesan kepada industri gig, kami percaya ia akan membawa kepada hasil yang saksama.

“Kami seiring dengan visi kerajaan untuk membangunkan rangka kerja yang melindungi pekerja gig, memupuk inovasi dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju ekonomi digital.

“Dan seterusnya ia akan mendorong pertumbuhan inklusif dan kejayaan jangka panjang untuk semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambah Foodpanda, pihaknya turut menyokong inisiatif kerajaan yang meningkatkan kebajikan pekerja gig sambil mengekalkan fleksibiliti dan kebebasan.

“Ia menjadi teras kepada ekonomi gig dan dihargai oleh rakan penghantaran kami,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!