Pas ucap Selamat Hari Krismas

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada penganut beragama Kristian di seluruh negara yang menyambutnya pada Rabu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, diharap sambutan perayaan itu akan berjalan lancar dan selamat sebagaimana tahun sebelumnya.

“Sambutan hari kebesaran penganut Kristian adalah sebahagian budaya besar Malaysia yang menambah kepada warna-warni pengalaman hidup rakyat.

“Ia juga boleh menyumbang kepada pembentukan jati diri masyarakat yang lebih matang, saling menghormati dan bertimbang rasa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sambutan Hari Krismas atau dipanggil Hari Natal disambut pada 25 Disember setiap tahun oleh penganut agama Kristian.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas meraikan dan menyambut baik aspek pengayaan pengalaman tersebut serta kesan positifnya ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti atau bermoral bersandarkan nilai keagamaan luhur serta suci.

“Dengan latar belakang akar agama Ibrahimiyyah yang sama, Pas percaya umat Islam dan penganut Kristian mempunyai banyak persamaan, baik dari segi asas kepercayaan mahupun amalan serta mampu menyumbang kepada penciptaan negara lebih baik.

“Kepercayaan monoteisme, perkongsian para nabi dan rasul, kedudukan mulia Maryam, kehidupan selepas mati, balasan syurga serta neraka, amalan berpuasa serta keunggulan sedekah adalah antara persamaan yang bertujuan membentuk watak manusia baik sekali gus berguna kepada diri sendiri atau masyarakat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pihaknya juga percaya usaha kekuatan moral dua komuniti agama terbesar mampu memainkan peranan besar ke arah melahirkan dunia aman dan bebas daripada keruntuhan akhlak, peperangan, kezaliman, kebencian, kelaparan atau ketidakadilan untuk semua orang, kelompok serta rantau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!