Peruntukan dana Parlimen: Syed Saddiq gagal peroleh kebenaran semakan kehakiman

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pihak lain gagal dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia berhubung tindakan kerajaan yang didakwa memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada Selasa tanpa sebarang kos ditetapkan.

Dalam keputusannya, Wan Ahmad Farid yang kini sebagai Hakim Mahkamah Rayuan berkata, permohonan Syed Saddiq bersama Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri dibuat melebihi tempoh masa yang ditetapkan.

Beliau turut berpendapat, peruntukan khas untuk kawasan Parlimen merupakan perkara dasar eksekutif yang mana mahkamah terikat dengan keputusan terdahulu yang dibangkitkan tidak boleh diputuskan melalui semakan kehakiman.

Syed Saddiq. Foto Bernama
Syed Saddiq. Foto Bernama

"Bagaimanapun, jika mahkamah tersilap dalam membuat kesimpulan itu, mahkamah terikat dengan prinsip undang-undang melalui kes terdahulu bahawa perkara membabitkan dasar eksekutif bukan dalam ruang lingkup budi bicara mahkamah untuk menentukannya," katanya.

Pada 23 April lepas, Syed Saddiq dan Najib, Mohd Bakirudin dan Muhamad Fadzly yang merupakan pengundi Muar selaku pemohon memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Lim Wei Jiet dengan menamakan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Artikel Berkaitan:

Mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana bagi kawasan Parlimen Muar.

Selain itu, mereka memohon membatalkan keputusan kedua-dua responden membatalkan akses pemohon pertama (Syed Saddiq) terhadap sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan tersebut serta keputusan membatalkan beberapa projek secara kolektif berjumlah RM230,300 yang dimohon oleh pemohon pertama dan diluluskan dalam sistem myKHAS untuk peruntukan pembangunan RM2 juta.

Mereka juga memohon untuk membatalkan keputusan kedua-dua responden, yang enggan meluluskan atau memberikan apa-apa peruntukan kepada pemohon pertama sebagai Ahli Parlimen Muar untuk program di bawah ‘Projek Mesra Rakyat’ ataupun yang seumpama dengannya bagi tahun 2024.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan responden-responden melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!