Tempoh pembaharuan lesen 2025 MBDK dilanjut sehingga 31 Januari depan
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengumumkan pembaharuan lesen pada 2025 akan dilaksanakan sepenuhnya menerusi kaedah dalam talian.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain pada Mesyuarat Penuh Bulanan MBDK memaklumkan, pembaharuan lesen itu melibatkan lesen perniagaan, industri dan iklan.
Jelasnya, pembaharuan lesen itu dilaksanakan melalui sistem MYlesen.
Sehubungan itu, pihak MBDK memutuskan untuk melanjutkan tempoh pembaharuan lesen 2025 sehingga 31 Januari depan.
Beliau menambah, dalam tempoh lanjutan, pembayaran yang dibuat juga tidak akan dikenakan sebarang caj fi lewat.
"Bagaimanapun semua pemegang lesen disyorkan memperbaharui lesen dengan kadar segera bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir pembayaran.
"MBDK juga akan membuka kaunter pembaharuan lesen di Dewan Hamzah bagi membantu pemegang lesen untuk membuat pembayaran," ujar pada mesyuarat bulanan pada Selasa itu.
MBDK tekad pastikan tempat kerja bebas dadah
Dalam perkembangan berasingan, MBDK menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor memberikan komitmen secara bertulis bagi Program Pelaksanaan Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad).
Abd Hamid berkata, MBDK menjalinkan kerjasama itu dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Tekad pada 12 Disember lalu.
"Tujuan MOU ini diadakan adalah sebagai langkah permulaan ke arah mewujudkan tempat kerja bebas dadah selain mengaktifkan Jawatankuasa Tempat Kerja Bebas Dadah di peringkat MBDK.
"Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk membanteras penyalahgunaan dan jenayah terkait dadah atau bahan terlarang dalam kalangan kakitangan majlis," ujarnya pada Majlis Mesyuarat Penuh Bulanan di Ibu Pejabat MBDK di sini pada Selasa.
Hadir sama, Orang Besar Daerah Klang, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd Zary Affendi Mohd Arif serta ahli majlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!