ASB umum agihan pendapatan 5.75 sen seunit, terkukuh dalam tempoh 5 tahun
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Menerusi kenyataan pada Selasa, PNB memaklumkan, jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit.
Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion tersebut memanfaatkan 11.1 juta pemegang unitnya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, agihan pendapatan itu kekal kompetitif dan mengatasi penanda arasnya, kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank pada kadar 2.64 seunit.
"Kami berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun.
"Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, pembayaran dividen sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.
Ujarnya, prestasi ASB yang lebih baik ini adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan ringgit.
"Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing.
"Ia disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif Madani kerajaan, termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP)," katanya.
Menurut Raja Arshad, berdasarkan jumlah pulangan satu tahun pada hujung November lalu menyaksikan semua Dana Harga Berubah ASNB mengatasi penanda aras masing-masing dan diletakkan dalam dua kuartil teratas dalam kalangan dana setara mereka dalam segmen masing-masing
Sebagai contoh katanya, enam dana ASNB Equity telah mencatatkan jumlah pulangan satu tahun antara 15 peratus dan 33 peratus sehingga 30 November tahun ini dengan dana terawalnya, Amanah Saham Nasional (ASN) dan ASN Equity Malaysia merekodkan pulangan satu tahun masing-masing sebanyak 23.4 peratus dan 33.2 peratus.
"Tahun 2024 juga menyaksikan aset di bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat semula kepada RM347 bilion daripada RM337 bilion yang direkodkan pada tahun 2023, dengan bilangan akaun meningkat 3.2 peratuskepada 16.2 juta dengan ASNB menambah lebih 400,000 pemegang unik baharu dan kini menjadi pelaburan pilihan lebih 13 juta rakyat Malaysia," katanya.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, usaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk menabung kekal sebagai cabaran kritikal mengambil kira hasil penyelidikan kajian Soal Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2024.
Ujarnya, hasil penyelidikan itu menunjukkan lebih daripada 40 peratus orang dewasa di Malaysia belum memulakan perancangan kewangan untuk persaraan dan data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan pertumbuhan simpanan sukarela iaitu tidak tidak termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah kurang daripada lima peratus dalam tempoh lima tahun yang lalu.
"Bagi menangani cabaran ini, PNB telah menjadikan peningkatan simpanan pelanggannya sebagai tumpuannya di bawah Pelan Strategik baharunya, LEAP 6.
"Pelan Strategik itu menggariskan sasaran tinggi untuk meningkatkan AUM PNB kepada RM400 bilion menjelang 2027 melalui pelaksanaan transformasi merentas enam teras utama yang meliputi Jualan & Pengedaran, Pelaburan, Transformasi PNB Co, Pengetahuan, Inovasi dan Kemampanan," katanya.
Dalam pada itu, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata, pihaknya komited untuk mengembangkan simpanan rakyat Malaysia dengan menggalakkan mereka menyimpan lebih banyak dan menambah simpanan tersebut melalui pemberian pulangan yang mampan serta menerajui pasaran.
Menurutnya, dalam konteks ini, PNB akan meningkatkan usaha celik kewangan dengan menyediakan program dan sumber pendidikan bagi memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan termaklum.
"Kami juga akan mempergiatkan inisiatif pemasaran kami untuk menekankan kepentingan memupuk tabiat menyimpan yang konsisten bagi jaminan kewangan jangka panjang.
"Antaranya, tahun ini menyaksikan komitmen berterusan PNB untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan karnival celik kewangan utamanya, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), yang mencatatkan lebih 100,000 pengunjung tahun ini," katanya.
Abdul Rahman menjelaskan, logo baharu ASNB turut diperkenalkan, bertujuan untuk menarik minat generasi muda.
“Melangkah ke hadapan, kami akan meningkatkan usaha ini melalui transformasi model jualan dan pengedaran kami dan secara agresif menggalakkan simpanan kepada semua rakyat Malaysia," katanya.
Beliau menambah, tindakan segera itu antara lain termasuk pengaktifan beberapa kempen untuk menggalakkan simpanan berulang, bagi menggalakkan pelaburan berulang oleh rakyat Malaysia melalui ciri Auto Laburnya, yang membolehkan pelabur melabur secara tetap dan automatik dengan serendah RM10 sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!