[VIDEO] Polis Terengganu rampas 244 kg dadah bernilai RM7.8 juta

A
A
A

SETIU - Polis Terengganu menumpaskan sindiket pengedaran dadah membabitkan rampasan dianggarkan bernilai RM7.8 juta dalam operasi dijalankan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Rahmat, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, rampasan sebanyak 244 kilogram (kg) dadah jenis syabu terbabit direkodkan sebagai rampasan terbesar di negeri itu pada tahun ini.

Mohd Khairi (kiri) menunjukkan antara bungkusan mengandungi dadah yang dirampas dalam operasi pada Ahad.
Mohd Khairi (kiri) menunjukkan antara bungkusan mengandungi dadah yang dirampas dalam operasi pada Ahad.

Menurutnya, aktiviti penyeludupan bahan terlarang itu terbongkar selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dalam keadaan mencurigakan berhenti secara mengejut kira-kira 100 meter dari kawasan operasi trafik (snap check) sekitar jam 9 pagi.

"Sebaik pasukan trafik menghampiri kenderaan itu, seorang lelaki telah keluar meninggalkan MPV tersebut dan melarikan diri ke dalam kawasan kebun kelapa sawit.

"Pihak polis dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) daerah Setiu telah membuka pintu MPV itu. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dadah jenis syabu dalam kenderaan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, di sini, pada Selasa.

Sebahagian daripada ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 244 kg berjaya dirampas dalam operasi pada Ahad.
Sebahagian daripada ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 244 kg berjaya dirampas dalam operasi pada Ahad.

Jelas Mohd Khairi, siasatan lanjut dalam kenderaan itu mendapati terdapat enam guni setiap satu mengandungi 35 peket plastik berwarna perak atau keemasan berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 210 kg.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, terdapat satu guni putih berisi 30 peket plastik sama dengan anggaran berat dadah 30 kg serta satu beg plastik berisi empat peket plastik mengandungi 4 kg dadah.

"Kesemua rampasan melibatkan 244 kg dadah dianggarkan bernilai RM7.8 juta ini boleh digunakan oleh seramai 1.2 juta orang," katanya.

Dalam operasi sama, beliau berkata, polis turut mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1 kilometer (km) dari lokasi MPV tersebut.

"Ketika pemeriksaan, suspek cuba merempuh anggota polis dan tembakan dilepaskan ke arah tayar kenderaan tersebut.

"Bagaimanapun, pemandu kenderaan bertindak melarikan diri dan kenderaan tersebut dijumpai dalam ladang kelapa sawit dalam keadaan berkunci tanpa pemandu.

"Hasil bantuan pihak bomba, pintu kenderaan tersebut berjaya dibuka dan hasil pemeriksaan menemukan nombor plat asal Toyota Vellfire di dalam pacuan empat roda tersebut," jelasnya.

Mohd Khairi berkata, penyeludupan bahan terlarang itu dipercayai didalangi warga tempatan terbabit yang dibawa masuk dari Kelantan untuk dihantar ke pasaran luar Terengganu seperti di Lembah Klang.

Katanya, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Polis kini giat mengesan suspek dan pemilik kenderaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil untuk menyalurkan kepada pihak berkuasa," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!