Nahas 5 kenderaan: Kerajaan Melaka zahir simpati, dukacita terhadap keluarga mangsa

Keadaan semasa kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan sebelum Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh menuju Arah Utara. Foto Bernama
Keadaan semasa kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan sebelum Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh menuju Arah Utara. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka menzahirkan rasa simpati dan turut berdukacita terhadap keluarga mangsa kemalangan membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini malam tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya juga menggesa jabatan dan agensi berkaitan kenderaan berat dapat memastikan aspek keselamatan dipatuhi sepenuhnya oleh pemilik dan pemandu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan malam tadi dan turut berdukacita dengan kejadian ini.

"Kita telah dimaklumkan kemalangan ini dipercayai berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut, justeru saya juga berharap pemilik dapat memastikan kenderaan berat mereka sentiasa dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menjadi tetamu jemputan dalam Segmen ‘Dak Rauf Masuk Konti’ di Melaka.fm di sini hari ini.

Ab Rauf berkata, pada musim cuti persekolahan dan perayaan Krismas ini, semua pihak perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan orang lain.

Tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara, jam 8.45 malam tadi.

Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan empat penumpang MPV serta pemandu dan penumpang bas berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!