'Rumah kami kosong, banyak barang rosak' - Mangsa banjir

Kamariah (kiri) menerima sumbangan daripada Muhammad Nasir (dua dari kanan) dan Rosdi
Kamariah (kiri) menerima sumbangan daripada Muhammad Nasir (dua dari kanan) dan Rosdi
A
A
A

PASIR PUTEH - Beberapa penduduk Kampung Bunut Rendang di sini reda apabila terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan selama beberapa hari selepas diuji dengan musibah banjir tiga minggu lalu.

Mereka mendakwa musibah banjir luar jangka tahun ini lebih teruk kerana banyak harta benda terutama perabot dan peralatan elektrik terpaksa dilupuskan.

Seorang penduduk, Kamariah Ghazali, 40, berkata, kediamannya kini kosong apabila kesemua barang rosak kerana tidak sempat disimpan di tempat selamat.

"Rumah saya tidak pernah dinaiki air sejak 14 tahun tinggal di situ walaupun bah besar pada tahun 2014.

"Banjir tahun ini air menyebabkan air naik sehingga 0.6 meter di dalam rumah dan kami semua terpaksa berpindah tanpa sempat mengemas perabut dan keperluan lain," katanya.

Muhammad Nasir (empat, kanan) bergambar bersama mangsa banjir yang menerima bantuan.
Muhammad Nasir (empat, kanan) bergambar bersama mangsa banjir yang menerima bantuan.

Menceritakan situasi banjir yang dihadapi, Kamariah berkata, hujan lebat selama dua hari mengakibatkan air naik mendadak dan dia bersama suami serta tiga anak terus berpindah pada jam 8.30 pagi 27 November.

Katanya lagi, paras air naik dengan cepat kerana pada jam 8 pagi dia masih melakukan kerja-kerja rumah tetapi beberapa minit kemudian halaman rumah dilihat digenangi air sehingga 0.3 meter.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan suami terus membuat keputusan membawa anak-anak keluar dari kawasan rumah tanpa sebarang persediaan," katanya.

Bagaimanapun, dia dan suami berputih mata sebaik pulang ke rumah selepas enam hari berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja kerana semua barang dalam rumah ditenggelami air.

"Kosong rumah kami akibat banjir dan sehingga kini saya masih memikirkan sama ada mahu membeli perkakas rumah baharu atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, Hanisah Yasin, 56, berkata, kawasan rumahnya dinaiki air hampir satu meter.

"Saya dan keluarga tidak berpindah dan hanya tinggal di atas loteng kecil yang kami bina sebelum ini," katanya.

Dia berkata, beberapa barangan penting diletakkan sementara di atas tangga di dalam rumah sementara menanti air surut.

Kamariah dan Hanisah antara dua daripada lebih 20 mangsa banjir di sekitar Pasir Puteh yang menerima bantuan daripada Pertubuhan Sinar Prihatin (MySinar) yang bekerjasama dengan Myfunaction Cawangan Negeri Kelantan dan Gusinar Pasir Puteh.

Sumbangan disampaikan oleh Penaung MySinar, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Setiausaha Agung MySinar, Rosdi Md Hasan.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Tabung Pertubuhan Sinar Prihatin di nombor 562218233147 (Maybank).

Muhammad Nasir yang juga Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf memberitahu, semua bantuan daripada orang ramai akan dimanfaatkan sepenuhnya supaya dapat menceriakan golongan yang memerlukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!