Presiden AIPA adakan kunjungan ke negara ASEAN, Januari depan
SUNGAI PETANI - Delegasi Parlimen Malaysia akan mengadakan kunjungan ke negara anggota Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) bermula 13 Januari depan sebagai persiapan sebelum acara kemuncak itu berlangsung September nanti.
Presiden AIPA ke-46, Tan Sri Johari Abdul yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, kunjungan itu sebagai persiapan sebelum Malaysia menjadi tuan rumah membincangkan isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama rantau ASEAN.
"Mulai 13 Januari ini, saya akan melawat semua negara ASEAN untuk berbincang dengan mereka sebelum mesyuarat berlaku, saya akan tour seluruh negara ASEAN untuk pastikan kita menjadi tuan rumah yang terbaik,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menyampaikan sumbangan bantuan mangsa banjir di Masjid Safuan, Pekan Jeniang pada Selasa.
Johari berkata, pihaknya telah merancang dan membuat persediaan menguruskan semua acara berkaitan iaitu lima mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung AIPA di Kuala Lumpur bermula 1 hingga 6 September tahun hadapan.
“Mesyuarat lain kita bahagikan ke negeri lain termasuk Selangor, Pahang dan Sarawak, supaya tetamu yang hadir dapat kita agihkan ke negeri-negeri.
“Ia bagi memastikan mereka bukan sahaja dapat melihat keindahan dan kehebatan Kuala Lumpur tetapi juga dapat melihat apa yang berlaku di luar Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau turut yakin bahawa acara yang diadakan itu nanti mendapat sambutan baik dalam kalangan negara anggota ASEAN berdasarkan maklum balas yang diterima setakat ini.
Johari menerima tugas selaku Presiden AIPA ke-46 bagi 2025 daripada Laos pada Oktober lalu di mana kali terakhir penganjuran Malaysia sebagai Presiden AIPA adalah pada 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!