Suri rumah mengaku tidak bersalah tipu pembelian rumah, jual emas
BUTTERWORTH - Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth di sini, atas dua pertuduhan menipu pembelian rumah dan penjualan emas yang membabitkan kerugian RM68,282.
Tertuduh, Siti Fatimah Zahra' Ismail, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya seorang wanita berusia 30 tahun untuk mempercayai dia akan menguruskan pembelian rumah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM16,930 kepada tertuduh menerusi akaun bank.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.46 tengah hari di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas pada 24 Mei 2023.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu mangsa yang sama menerusi penjualan 581 kotak emas berjumlah RM110,900 yang dijalankan menerusi transaksi tiga akaun bank.
Bagaimanapun, hanya 82 kotak emas diterima menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM51,352.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada 18 April hingga 16 Ogos lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh.
Bagaimanapun, peguam, Jasni Mahamad yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dikenakan susulan anak guamnya mempunyai seorang anak kecil berusia tiga tahun manakala suaminya hanya pekerja kilang dan perlu menjaga ayahnya yang menghidap sakit jantung.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Februari depan untuk sebutan kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!